KUALA LUMPUR: Andai diperhatikan, konsert menampilkan genre muzik dangdut agak jarang dipentaskan di Malaysia. Tidak seperti negara jiran, Indonesia, genre muzik dangdut cukup disanjungi hingga setiap kali artis dangdut mementaskan konsert, tiket ‘lesap’ sekelip mata.

Melihat dangdut memiliki pengikut tersendiri, Mission Sight Sdn Bhd bakal menghimpunkan bintang dangdut popular tempatan dan Indonesia pada Konsert Goyang Asia Koplo Milenia di Pusat Ekuestrian Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 12 Ogos depan.

Konsert yang bakal berlangsung tiga jam itu menampilkan pejuang irama dangdut tempatan, Ani Mayuni dan Baby Shima serta penyanyi dangdut popular Indonesia iaitu Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesty Klepek Klepek dan Rhena Morena.

Menghangatkan lagi konsert sudah pasti pelopor genre dangdut tanah air iaitu Mas Idayu, Amelina dan Ramlah Ram.

Konsert itu bakal menampilkan pengacara, Didie Alias sebagai hos bersama Shandrra Rose dari Indonesia.

Pengarah Projek Konsert Goyang Asia Koplo Milenia, Riezman Khuzaimi berkata, acara itu bertujuan memperkenalkan bakat baharu irama dangdut dua negara.

“Negara kita tidak ramai artis berkembang dengan genre dangdut. Jadi, kami gabungkan bintang dari kedua-dua negara iaitu Indonesia dan Malaysia.

“Mereka akan menggegarkan kembali industri dengan muzik dan lagu dangdut. Kita juga ada penyanyi dangdut legenda seperti Mas Idayu, Amelina dan ramai lagi.

“Jadi, kami fikir, ini peluang untuk kami menganjurkan konsert bagi pejuang irama ini. Tidak salah kalau kita ‘lari’ sikit daripada genre muzik yang sering dipentaskan di sini, termasuk muzik seperti yang dibawa penyanyi, Afgan dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Pusat Ekuestrian Bukit Kiara di ibu negara, baru-baru ini.

Penyanyi dangdut Indonesia, Rhena Morena (kiri), Siti Badriah, Fitri Carlina dan Hesti Klepek Klepek bakal tampil dengan Konsert Goyang Asia Koplo Milenia di Pusat Ekuestrian Bukit Kiara pada 12 Ogos depan. - NSTP/Rohanis Shukri
Penyanyi dangdut Indonesia, Rhena Morena (kiri), Siti Badriah, Fitri Carlina dan Hesti Klepek Klepek bakal tampil dengan Konsert Goyang Asia Koplo Milenia di Pusat Ekuestrian Bukit Kiara pada 12 Ogos depan. – NSTP/Rohanis Shukri

Riezman berkata, Konsert Goyang Asia Koplo Milenia diharap dapat menarik peminat Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei untuk menonton artis kegemaran mereka.

“Secara tidak langsung, acara ini dapat mengembangkan industri pelancongan negara. Ia juga diharap dapat dijadikan strategi pemasaran baharu untuk industri pelancongan dan muzik,” katanya yang turut mendapat permintaan agar konsert sama dibawa ke Sabah dan Sarawak.

Riezman berkata, pihaknya sedia berdepan kecaman sebaik penganjuran Konsert Goyang Asia Koplo Milenia, diumumkan. Apatah lagi, Baby Shima yang selama ini sering mencetuskan kontroversi, bakal terbabit dalam pementasan itu.

“Saya baru berjumpa Baby Shima dan mendapat tahu, ada kontroversi terkini membabitkannya. Kita tidak boleh buat apa-apa. Mungkin itu cara pemasarannya.

“Saya sedia berdepan apa sahaja. Cuma ketika konsert itu dianjurkan, kami akan cuba jaga sebaik-baiknya.

“Lagipun, pementasan konsert ini mengikut garis panduan diberikan, apatah lagi, kita bawa artis dari luar negara. Jadi, insya-Allah, tiada masalah pada hari ditetapkan,” katanya.

Ditanya kebimbangan andai ada pihak mendesak agar konsert itu dibatalkan, Riezman berkata, beliau akan cuba sebaik-baiknya bagi memastikan kelancaran projek itu.

“Memang netizen Malaysia ini paling kuat di dunia. Saya pernah dihentam mereka. Jadi, saya akan cuba buat yang terbaik.

“Kalau diikutkan, kita langsung tidak boleh beri hiburan. Tidak adil bagi mereka. Ini negara demokrasi. Jadi, kita berhibur tetapi dengan batasan.

“Apa yang saya tekankan adalah saya cuba pastikan penampilan artis pada konsert dijaga dengan baik. Kita akan meminta mereka mengenakan pakaian sopan.

“Selain itu, saya akan meningkatkan kawalan keselamatan berikutan dijangka ramai peminat dari luar negara yang datang,” katanya.

Tiket Konsert Goyang Asia Koplo Milenia boleh dibeli dengan melayari www.ticket2u.com.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *