KUALA LUMPUR: Tiada kata dapat menggambarkan perasaan pelakon filem yang kian menyinar, Idan Aedan tatkala mengetahui namanya bolos senarai pencalonan awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 yang dilancarkan, Jumaat lalu.

Mengakui perkara itu di luar jangkaannya, Idan atau nama sebenar, Muhammad Shahidan Abdullah, 19, bagaimanapun menganggap pencalonan awal ABPBH 35 sebagai titik permulaan untuk terus melebarkan sayap dalam dunia lakonan tempatan dan antarabangsa.

Idan yang tercalon dalam dua kategori utama, iaitu BBNU Lelaki Popular dan Aktor Filem Popular menganggap pengiktirafan itu sebagai langkah besar dalam karier lakonan.

Idan juga berharap lebih banyak peluang mendatang dengan kejayaan mampu digapainya dalam memburu impian bergelar pelakon.

“Sudah tentu, perasaan saya teruja saat mengetahui sudah tercalon dalam salah satu majlis penganugerahan yang menjadi impian saya sejak dahulu lagi.

“Sejujurnya, saya sangat gementar. Ini kali pertama saya tercalon, apatah lagi tidak pernah sangka disenaraikan.

“Bagaimanapun, saya anggap ia adalah rezeki saya. Boleh dikatakan peluang ini membuka lembaran baharu dalam karier seni saya.

“Tercalon dalam ABPBH 35 ini adalah langkah besar dalam karier lakonan saya.

“Diharapkan lebih banyak lagi peluang dan kejayaan mampu dicapai pada masa akan datang,” katanya kepada BH Online.

Idan yang memulakan kerjaya lakonan seawal usia 10 tahun selepas memenangi program realiti TV3, Over The Top menganggap terpilih dalam senarai Top 20 sebagai suatu penghormatan buatnya. Apatah lagi, dicalonkan bersama barisan pelakon hebat lain.

“Saya tidak pernah letak sasaran atau harapan terlalu tinggi untuk memenangi trofi, mahupun berada dalam kelompok lima calon terbaik.

“Saya hanya beri yang terbaik dalam setiap lakonan atau projek dijayakan. Kalau mahu letak harapan terlalu tinggi memang agak tidak munasabah. Calon lain dalam kategori saya semuanya ‘gila-gila’ (hebat).

“Namun, sekiranya saya mara hingga kelompok lima terbaik, ia adalah rezeki dan saya sangat bersyukur,” katanya.

Idan menganggap pencalonan awal ABPBH 35 sebagai titik permulaan untuk terus melebarkan sayap dalam dunia lakonan tempatan dan antarabangsa.
Idan menganggap pencalonan awal ABPBH 35 sebagai titik permulaan untuk terus melebarkan sayap dalam dunia lakonan tempatan dan antarabangsa.

Katanya, dia anggap peluang dicalonkan dalam ABPBH 35 ini sebagai langkah untuk berkongsi pengalaman lebih luas mengenai minat begitu mendalam untuk industri perfileman.

“Saya sudah beri 100 peratus terhadap semua projek lakonan yang dijayakan. Insya-Allah, peluang berada dalam kelompok lima calon teratas itu tetap ada.

“Selain itu, peluang dicalonkan dalam anugerah ikonik ini pada usia masih muda diharapkan mampu memberi inspirasi kepada pelakon seusia lain,” katanya.

Mengulas peningkatan graf karier lakonannya, teraju utama filem Anak Rimau The Movie ini mahu tampil dengan naskhah atau watak yang lebih mencabar selepas ini.

“Apabila saya lihat ada peningkatan dalam karier seni, ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk berkarya dan mahu meraih pencapaian yang lebih tinggi dari semasa ke semasa.

“Harapan saya seterusnya adalah untuk cuba bawa karakter yang berbeza daripada kebiasaan. Saya teringin untuk galas watak yang lebih serius, mencabar dan mendalam,” katanya.

Antara lain kejayaan bintang remaja itu adalah dipilih produksi Singapura untuk menjadi teraju utama menerusi drama Mr Midnight: Beware The Monster siaran platform Netflix global, termasuk menerima tawaran syarikat produksi dari Indonesia dan Australia.

Idan pernah berada dalam kelompok lima calon terbaik bagi kategori Pelakon Lelaki Harapan, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-32, tahun lalu.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *