“Lagu Sungguh Kamu Aku Rindu memberi peringatan kepada kita untuk sentiasa menghargai orang yang kita rapat sebab kita tak tahu bila dia akan pergi dalam hidup kita.
“Jadi hargailah setiap insan yang berada di sekeliling.” demikian luah penyanyi dan pencipta lagu, Fahimi Rahmat mengenai single terbaru kolaborasi dengan Athalia.
Fahimi turut mendapat kerjasama sentuhan komposer Mike Chan selain label muzik Universal Music dan Faithful Music.
Menurut Fahimi, lagu berkenaan sudah dihasilkan sejak dua tahun lalu selepas melalui satu peristiwa yang masih berbekas dalam hidupnya.
“Sebenarnya lagu ini sudah dihasilkan dua tahun lalu tapi saya simpan sekejap kerana menunggu waktu yang terbaik untuk dilancarkan. Alhamdulillah tahun ini adalah waktu terbaik.
“Jujurnya saya tulis lagu ini disebabkan satu peristiwa yang cukup memberi kesan mendalam dalam hidup saya ketika itu. Bermula dari situ, saya ‘bangunkan’ lagu ini mengikut kisah yang saya lalui,” katanya.
Menurut Fahimi, proses rakaman lagu tidak mengambil waktu yang lama untuk disiapkan memandangkan Athalia adalah figura yang tepat.
“Kami hanya melalui dua sesi rakaman saja. Malah proses rakaman pun berlangsung dengan lancar dan menyeronokkan.

“Cuma ketika rakaman kami berdua perlu memberi sepenuh penghayatan terhadap lagu ini supaya masing-masing dapat membawa karakter lagu ini. Ia adalah satu pengalaman baru buat saya.
“Selama berada dalam industri seni, saya tak pernah berduet dengan mana-mana penyanyi, tapi kali ini saya mencari kelainan.
“Lagu ini adalah single duet pertama saya. Pada peringkat permulaan memang ada beberapa nama penyanyi yang disenarai pendek untuk duet bersama saya, tapi akhirnya kami memilih Athalia.
“Ini kerana sewaktu mendengar kemerduan suara Athalia, saya dapat rasakan lagu ini amat sesuai dengannya. Malah ketika rakaman dilakukan pun kami dapat mendengar keikhlasannya menyampaikan lagu itu,” katanya.
Sementara itu, Athalia menyifatkan kerjasama itu satu pengalaman berharga yang cukup manis.
Kata Athalia, ketika proses rakaman muzik video lagu itu, masing-masing cuba menterjemahkan maksud lagu yang disampaikan mengikut pemahaman sendiri.
“Lagu ini dekat dengan kehidupan setiap orang yang pernah melalui cerita indah atau segala memori bersama pasangan atau insan tersayang.
“Ia memberi pengertian cukup mendalam lebih-lebih lagi rasa rindu terhadap seseorang yang sudah tiada.
“Jujurnya kerjasama ini adalah satu pengalaman yang hebat buat diri saya sebab kami ada pandangan makna yang tersendiri untuk lagu ini.
“Malah dalam muzik video pun ada banyak babak yang dekat dengan hidup kita. Misalnya kita bahagia bersama pasangan, kemudian pernah melalui fasa bergaduh atau berpisah sehingga akhirnya dia lenyap dalam hidup kita buat selamanya,” kata
Athalia yang memuji Fahimi adalah penyanyi yang komited hasil kerja seninya.
kreadit : hmetro.com