SEJAK kehilangan bapanya, Lara atau Puteri Larasati Aisya mula dilanda kesunyian, terasa disisih dan dikhianati oleh keluarga serta teman hidupnya sendiri.
Lara dikenali sebagai wanita berkebolehan tinggi dalam mengendalikan perniagaan milik arwah ayahnya iaitu Puteri Emas Holdings.
Dapatkah Lara kekal tabah meneruskan perjuangan yang diwariskan dan cintanya?
Drama bersiri 40 episod berjudul Bukan Puteri Lindungan Bulan terbitan Global Station Sdn Bhd ini adalah diadaptasikan daripada novel dengan tajuk sama karya Liana Afiera Malik.
Diarahkan Mohd Fazli Yahya atau lebih dikenali dengan panggilan Pali Yahya dan penghasilan skrip oleh Eenaz Mokhtar, drama ini menampilkan pelakon popular tanah air seperti Hisyam Hamid, Janna Nick, Amar Baharin, Afifah Nasir, Niena Baharun, Shah Iskandar, Zarina Zainuddin, Azhar Amir, Zack Kool, Nasz Sally dan ramai lagi.
Lara lakonan Janna Nick pernah merasa bahagia sewaktu ayahnya masih hidup. Ibu, Datin Fariza (Zarina Zainuddin) dan abangnya, Luqman (Shah Iskandar) turut sentiasa bersamanya.
Selepas pemergian ayahnya, Lara mula merasakan hidupnya sangat sepi. Segalanya berubah apabila ibunya berkahwin dengan rakan baik arwah ayahnya dan Luqman membawa seorang isteri, Sabrina (Afifah Nasir) setelah tiga tahun berada di perantauan.
Kehadiran kakak iparnya, Sabrina yang dari awal cemburu dan membenci Lara, suka memanipulasi keadaan membuatkan Lara semakin jauh dari Luqman.
Zafir (Hisyam Hamid) mempunyai perasaan terhadap Lara dan mencuba berkali-kali untuk meluahkan isi hatinya kepada Lara tetapi sering kali diendahkan olehnya.
Namun begitu, keberadaan Zafir yang sentiasa mendengar luahan hati Lara dan sentiasa bersamanya di kala susah mahupun senang berjaya membuka hati Lara untuk menerima Zafir.
Lara disatukan dengan Zafir tetapi rumah tangga mereka sering berdepan rintangan. Sabrina menghasut fikiran Zafir yang mengatakan Lara seorang yang tidak jujur.
Kepercayaan Zafir terhadap Lara mula kabur dan goyah apabila mendapati Lara pernah dilihat bersama Zakuan. Ujian mereka semakin berat apabila kemunculan Farah, bekas kekasih Zafir kembali menagih cinta. Masih adakah sinar dalam rumah tangga Lara dan Zafir? Berjayakah Lara menggapai bahagia dalam kisah hidupnya?
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Bukan Puteri Lindungan Bulan menerusi slot Samarinda, setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 10 malam mulai 21 Mac atau strim di perkhidmatan penstriman iQIYI 1 jam selepas siaran TV.
kreadit: hmetro.com