KUALA LUMPUR: Lima tahun lalu, kumpulan Bunkface menghasilkan lagu Kita Punya Malaysia yang juga lagu tema Hari Kemerdekaan pada 2018 dan 2019.

Cukup sinonim dengan lagu berkonsepkan semangat cintakan negara, Bunkface kini kembali dengan karya berjudul Malaysia Madani yang menjadi lagu kempen kerajaan.

Berkongsi cerita di sebalik pembikinan lagu Malaysia Madani, vokalis Bunkface yang juga komposer lagu, Sam berkata, dia sekadar ingin mencuba nasib selepas mendapat tahu ada pihak yang ingin mencari lagu tema kempen Malaysia Madani.

“Kami dimaklumkan penganjur sedang mencari lagu tema kempen Malaysia Madani yang diperkenalkan kerajaan.

“Difahamkan, beberapa komposer terkenal turut dipelawa menghasilkan melodi lagu kempen ini.

“Mulanya, saya menghantar rangka lagu dalam bentuk demo berdurasi dua minit, sebelum mendapat persetujuan penganjur.

“Alhamdulillah, penganjur memaklumkan lagu ini terpilih untuk kempen Malaysia Madani selepas dua minggu demo dihantar dan melalui beberapa proses serta saringan,” katanya kepada BH Online.

Selain Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Annuar Muhammad Baharon, Bunkface turut dianggotai Youk selaku pemain bes merangkap penyanyi latar dan Paan (gitaris utama).

Lebih membanggakan Bunkface, lagu berentak rancak itu buat kali pertama dinyanyikan di hadapan lebih 8,000 pengunjung yang menghadiri program dialog anak muda Temu Anwar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Ahad lalu.

Sam berkata, persembahan itu melakar sejarah peribadi buat Bunkface, apatah lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memuji karya berkenaan.

“Kami melancarkan lagu Malaysia Madani ketika program Temu Anwar. Bunkface berpeluang membuat persembahan di hadapan Perdana Menteri sendiri dan untuk kali pertama secara ‘live’ dengan penonton.

“Selesai membuat persembahan, Perdana Menteri tampil di hadapan pentas bertemu dan bersalam dengan kami, sambil memuji lagu yang dinyanyikan.

“Jadi, anda yang belum mendengar lagu ini boleh melawat laman media sosial Bunkface. Sila kongsi, sebar dan berikan pandangan,” ujar Sam.

Bunkface diberi kebebasan berkarya, namun mengikut garis panduan ditetapkan. - Foto IG Bunkface
Bunkface diberi kebebasan berkarya, namun mengikut garis panduan ditetapkan. – Foto IG Bunkface

Mengulas apakah Bunkface tidak bimbang jika usaha disalah tafsir, Sam menafikan mereka mempunyai agenda tertentu.

Sebaliknya, Sam berkata, niat menghantar demo lagu adalah untuk menguji kreativiti dalam berkarya, selain mencari rezeki halal.

“Setiap organisasi ada agenda masing-masing dan Bunkface pun ada agenda tersendiri.

“Cuma, cara penyampaiannya sahaja berbeza. Jujurnya, kami tiada niat mahu mengampu sesiapa.

“Kami pernah membuat lagu tema Hari Kemerdekaan untuk kerajaan. Dan secara kebetulan, pelanggan kami adalah Perdana Menteri Ke-10.

“Niat kami untuk mencari rezeki halal di samping berkarya,” luah adik kepada aktres Siti Saleha ini.

Diajak berbicara konsep lagu ciptaannya itu, Sam memaklumkan diberi sepenuh kebebasan menghasilkan lagu, namun perlu mengikut garis panduan diberikan.

“Kami diberi ruang kreativiti dalam berkarya, namun tidak mengetepikan garis panduan diberi oleh penganjur.

“Melodi digubah secara teliti, ia bersifat ‘marching’ iaitu bergerak, maju ke hadapan, mengajak pendengar dan rakyat Malaysia bersama secara positif dalam kehidupan.

“Madani itu sendiri bermaksud maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan. Sebelum ini, lagu ciptaan Bunkface banyak menjurus kepada mesej membina kemajuan diri dan nilai persahabatan, bersesuaian dengan kempen diketengahkan kerajaan,” kata Sam.

Lagu Malaysia Madani berdurasi dua minit mengambil masa hampir tiga minggu untuk disiapkan. Antara kepuasan menyanyikan lagu berunsur patriotik apabila dapat berbakti kepada negara dan masyarakat setempat.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *