Pelakon, Meerqeen. FOTO Eizairi Shamsudin
Kuala Lumpur: Pelakon popular, Meerqeen, 23, menyifatkan kehadiran ‘bodyguard’ atau pengawal peribadi disisinya kini cukup menyenangkan, sentiasa dalam kawalan, selamat, termasuk tidak menjauhkannya daripada peminat.
Meerqeen atau nama sebenar, Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam berkata, apabila ditemani ‘bodyguard’ ke mana saja paling utama dapat mengelakkan dirinya daripada terlepas pandang berbuat tidak elok di tempat awam.
“Peminat tetap boleh mendekati saya. Sebabnya, saya tidak akan kata ‘no’ (tidak) kepada peminat. ‘Bodyguard’ akan dengar apa saja yang saya cakap dan dia juga tahu apa bidang tugasnya itu.
“Cuma, kalau peminat terlalu ramai sangat, saya memang perlukan bantuannya. Tapi, kehadiran ‘bodyguard’ bersama sebenarnya untuk membantu saya mengawal diri agar tidak melakukan sesuatu tanpa sedar di tempat awam.
“Saya bimbang sekiranya tak boleh mengawal diri untuk sentiasa berkelakuan baik di tempat awam. Jadi, saya memang perlukan ‘bodyguard’ untuk bantu ingatkan agar sentiasa menjaga tingkah laku di hadapan umum,” katanya ditemui baru-baru ini.
Terdahulu, kisah Meerqeen menggunakan khidmat ‘bodyguard’ disahkan oleh jurucakap pihak pengurusannya pada bulan lalu.
Katanya, dua ‘bodyguard’ diupah bukan atas permintaan peribadi Meerqeen, tetapi sebagai langkah berjaga-jaga.
Dalam pada itu, Meerqeen hadir pada majlis tayangan istimewa episod pertama drama Melur Untuk Firdaus 2 di TV3.
Meerqeen berkata, dia amat berterima kasih kepada penonton dan peminatnya yang memberikan sambutan baik terhadap drama itu sebelum ini.
“Apapun, saya melihat hubungan dengan peminat sebagai satu keluarga. Kami selalu adakan aktiviti ‘charity’ (amal) bersama-sama. Dari situ, hubungan kami semua lebih erat di antara satu sama lain dan saling menghormati.
“Namun, saya akui tidak terlepas berhadapan segelintir peminat yang finatik. Hinggakan ada yang sanggup mengirim kata-kata cinta, patung ukiran wajah saya dan sebagainya. Tapi, tindakan itu tidaklah sampai menyeramkan lagi,” katanya.
Drama Melur Untuk Firdaus 2 arahan Zamri Zakaria dan Arield Mohd Rifin di slot Akasia TV3 mula ditayangkan 16 Mac lalu, jam 7 malam.
kreadit : hmetro.com