Kuala Lumpur: Susulan bayaran royalti karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee bakal berakhir pada 29 Mei ini, anaknya Sazali, 64, berdepan kesukaran hidup hilang pergantungan punca rezeki.
Kerana bergantung besar terhadap pendapatan itulah juga menjadi faktor Sazali memohon tempoh bayarannya dilanjutkan. Katanya, dia tidak larat kembali bekerja disebabkan keadaan semakin uzur.
“Saya sudah tua, lutut kanan dan pinggul patah akibat kemalangan pada 2015. Memang tidak larat hendak kembali bekerja. Saya bukan mendesak, saya cuma minta tolong.
“Itupun kalau boleh. Kalau tidak dapat, tak mengapa. Itu maknanya bukan rezeki saya. Kalau dapat, bukan untuk saya makan seorang, tetapi semua cucu Allahyarham P Ramlee akan merasa,” katanya.
Luahan itu dibuat Sazali sejurus majlis penyerahan sumbangan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di kediamannya di Semenyih, kelmarin.
Dia juga membuat penjelasan itu demi menepis pandangan yang menyifatkan permintaannya seakan sangat terdesak kerana memohon lanjutkan pembayaran royalti terbabit.ADVERTISING
Terdahulu, dia pernah merayu kerajaan menimbang cadangan melanjutkan tempoh kontrak royalti lagu karya arwah bapanya.
Pada 29 Mei depan, genap 50 tahun pemergian Seniman Agung, Allahyarham P Ramlee yang cukup meninggalkan impak besar serta legasi tersendiri dalam industri hiburan tanah air.
Sazali menjadi penerima bayaran royaliti itu sejak 2008 selepas Allahyarham Nasir P Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma.
Kredit: Harian Metro