Kuala Lumpur: Pelakon Ben Amir mendedahkan dia pernah mengalami fasa kemurungan akibat kecederaan di sebelah mata kirinya sehingga terpaksa menjalani pembedahan pada Jun tahun lalu.

Menurut Ben atau nama sebenar, Muhammad Amiruddin, 33, kira-kira 20 peratus bahagian mata kirinya itu juga mengalami kerosakan dan mengganggu penglihatannya.

“Saya tidak dapat menceritakan punca sebenar kejadian itu berlaku kerana isu ini sudah selesai dengan pihak produksi.

“Apa yang boleh diberitahu, saya mengalami kecederaan ketika menjayakan babak aksi dalam satu penggambaran,” katanya.

Ben berkata, dia juga mengambil masa lebih kurang dua hingga tiga bulan untuk pulih selepas pembedahan mata terbabit.

“Namun, dalam tempoh enam bulan sebelum ini, saya memang melalui fasa kemurungan dari segi mental dan fizikal.

“Alhamdulillah, keadaan mata saya sudah pulih tetapi kira-kira 20 peratus bahagian mata kiri sudah rosak,” katanya.

Ben berkata, dia juga agak sukar memandu pada waktu malam jika terlalu banyak cahaya dan perlu memakai kaca mata yang sesuai untuk mengelakkan silau.

“Doktor tidak cadangkan saya untuk buat aktiviti lasak tetapi untuk hilangkan tekanan, saya keluar buat sesuatu yang saya suka seperti berjalan-jalan dan hiking,” katanya.

Mengenai kerjaya seninya pula, kata pelakon drama Sweet Dreams ini, dia merancang kembali aktif dalam bidang lakonan pada tahun ini selepas enam bulan berehat.

“Selepas lama berehat akibat kecederaan mata kiri, saya mahu buat ‘comeback’ dalam bidang seni tanah air. “Saya sudah mula kembali ke lokasi penggambaran drama pada Januari lalu.

“Saya ada projek telemovie untuk Ramadan dan drama baru arahan Michael Ang,” katanya.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *