Kuala Lumpur: Selebriti Hong Kong, Andy Lau, 61, dipercayai meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama keluarga isterinya, Carol Chu juga warga negara Malaysia yang dikahwini pada 2008 lalu.
Memetik laporan China Press, bintang ternama antarabangsa itu dilihat berada di ibu kota bersama hartawan terkenal, Tan Sri Vincent Tan ketika mereka melawat ke Dewan Jing Si Tzu-Chi di Kepong, baru-baru ini.
Menerusi rakaman video daripada netizen itu, difahamkan Lau yang tampil segak dengan menggayakan kot berwarna kelabu serta memakai pelitup muka, berjalan beriringan dengan Tan sambil tetap ditemani isterinya, Carol yang sentiasa berada di sisi.

Apapun, melalui rakaman video terbabit, Lau dan Tan juga didapati begitu bersemangat kerana mereka berdua dilihat begitu mesra berbual dan ketawa bersama.
Atas aktiviti atau urusan kerja apa kedua-dua figura tersohor itu berada dalam kawasan Dewan Jing Si Tzu-Chi berkenaan tidak diketahui kerana ia dikatakan berlangsung secara tertutup.
Diketahui, Lau secara tradisinya selalu menghabiskan masanya meraikan sambutan Tahun Baru Cina di Malaysia kerana melawat keluarga isterinya yang tinggal di negara ini.
Pada 2021 lalu, Lau mendedahkan dia yang kembali ke negara ini buat sementara waktu pada 2020, terpaksa tinggal lebih lama di Malaysia kerana penularan Covid-19.
Katanya, dia bagaimanapun boleh pulang ke Hong Kong selepas beberapa bulan kemudian.
Kredit: Harian Metro