Kota Bharu: Perlu bersikap profesional dan terbuka menerima pandangan terutama daripada senior.
Demikian pandangan penyanyi Azlan The Typewriter, 41, jika berhasrat menjadi penghibur yang berjaya.
Menurut Azlan, penyanyi muda dan baharu meningkat naik tidak perlu ‘koyak’ dengan sebarang teguran daripada artis senior jika ingin terus kekal dalam industri hiburan.
“Artis yang baharu ni kena faham, jangan koyak. Kalau cepat koyak, tak lama (bertahan dalam industri).
“Sebagai senior, saya rasa kena dengar saja la kata dia (Mas Idayu) walau tak sedap didengar di telinga, perlu lebih terbuka,” katanyal
Azlan atau nama sebenarnya Nor Azlan Rosle Sallehudin menyifatkan apa yang dikritik oleh Mas Idayu dalam program Famili Duo adalah berdasarkan pengalamannya yang sudah lama bidang nyanyian.
Beliau yang juga pernah tampil sebagai juri dalam beberapa program realiti berpendapat, setiap juri mempunyai karakter masing-masing ketika memberi kritikan dan peserta harus bersedia.
“Mungkin orang cakap Mas Idayu lantang mengkritik tapi bagi saya, dia cukup berpengalaman untuk kritik sesiapa yang dia nak.
“Setiap individu ada karakter masing-masing dan cara dia (Mas Idayu) memang macam itu dan pada saya ada pro dan kontranya,” katanya.
Sejak Ahad lalu, kontroversi tercetus selepas pasangan sepupu, Naim Daniel dan Sissy Imann dikritik juri tetap, Mas Idayu pada konsert minggu keenam Famili Duo yang disiarkan secara langsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.
Persembahan Naim dan Sissy yang menyanyikan lagu Jampi dengan susunan muzik keroncong, gagal memikat hati juri dan menerima komen pedas hingga Sissy mengalirkan air mata, lalu tular.
Terdahulu Azlan hadir di Pasar Raya KB Mall di sini, semalam bagi menjayakan majlis pelancaran jenama baju Melayu dari sebuah syarikat sambil menghiburkan pengunjung dengan koleksi lagunya.
Mengenai perkembangan terbaharu pelantun lagu Jangan Khianati Aku itu, beliau kini sedang terbabit dalam pembikinan lagu tema untuk filem Brother Gun dan dijangka akan siap sepenuhnya dalam tahun ini.
Ketika ditanya sama ada terlintas untuk mencuba bidang lain selain nyanyian, Juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-23 itu mengakui ada menerima beberapa tawaran untuk berlakon tapi terpaksa menolak.
Menyifatkan dirinya tidak sesuai untuk menjadi pelakon walau pernah mencuba bidang itu pada awal kemunculan dalam bidang seni, Azlan lebih memilih untuk kekal dalam nyanyian dan mencipta lagu.
“Ada segelintir yang ‘offer’ tapi saya tak pandai, kaku dan pernah cuba masa saya masih dengan (kumpulan) Meet Uncle Hussain dulu, memang kena kecam.
“Saya sendiri tengok pun menyampah jadi saya ambil keputusan untuk kekal menyanyi dan buat muzik saja, itu lagi bagus,” katanya.
Kredit: Harian Metro