Kuala Lumpur: “Maaf saya tak boleh cerita lebih lanjut berkenaan kes saya ketika ini kerana tidak mahu menjejaskan kes. Tapi pada 24 November ini, saya akan memberi kenyataan dengan lebih jelas”.

Demikian kata pelakon Amelia Henderson selepas selesai prosiding perbicaraan hari kedua berhubung kes saman pelanggaran kontrak di Mahkamah Sesyen Sivil di sini hari ini.

Menurut Amelia, biarpun berdepan dengan perbicaraan, dia bersyukur kerana mendapat sokongan keluarga yang sanggup menemaninya ke mahkamah sehingga lewat petang.

“Saya bersyukur kerana ahli keluarga tidak putus memberikan sokongan.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada barisan peguam, rakan-rakan media serta peminat yang sentiasa mengambil berat,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan bersambung lagi 24 November ini dengan Amelia selaku defendan akan memberi keterangannya.

Semalam kes saman membabitkan penerbit sensasi, A Aida bersama seorang lagi pelakon, Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes saman itu.

Sebelum ini media melaporkan, Amelia dan Idris berdepan tindakan saman daripada A Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.

A Aida bersama pengarah drama, Sekali Lagi Cinta Kembali iaitu Rizal Baharuddin sepakat membawa perkara terbabit ke muka pengadilan sekali gus memberi pengajaran kepada pelakon berkenaan.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *