Shah Alam: Penampilan Datuk Seri Siti Nurhaliza, 43, menyanyikan lagu tema jenama susu terkenal di program Gegar Vaganza 9, di sini, malam tadi mendapat pelbagai reaksi, malah tidak kurang dikritik.

Bagaimanapun, Siti sangat positif dan gembira menjadi duta kepada jenama terbabit walaupun ada yang melihat seolah-olah tidak kena dengan kelasnya sebagai penghibur tersohor.

“Lucu bila saya baca komen-komen ‘followers’ dan peminat saya. Ada yang tak minum susu, hari ini nak minum susu, ada yang kata lagu iklan itu asyik bermain-main di kepala, macam-macam lagi.

“Walaupun lucu tetapi bagi saya inilah tanda sokongan dan menghargai. Perkara-perkara positif ini sebenarnya memberikan aura yang baik untuk kita,” katanya.

Muncul beberapa minit sebagai selingan tujuan promosi lagu serta pengumumannya sebagai duta, Siti berjaya meninggalkan impak tersendiri dengan persembahan mencuit hati.

Dia juga sempat berkongsi klip sewaktu raptai persembahan lagu berkenaan menerusi sebuah hantaran di Instagram.

“Baik, saya belanja lagu itu sewaktu sesi latihan untuk Gegar Vaganza. Biasanya saya akan minta ‘team’ ambilkan video untuk saya periksa apa kurang sana sini termasuk ‘step’ tarian saya,” katanya.

Nama Siti menjadi ‘trending’ di Twitter semalam selepas menjayakan persembahan terbabit.

Ia gara-gara terdapat segelintir komen mengatakan dia nampak ‘low class’. Tidak ketinggalan ada yang tidak mengaku kenal Siti hanya kerana menyanyikan lagu tema jenama susu.

Bagaimanapun, ramai yang tumpang bangga dan gembira dengan pencapaian baharunya itu. Mereka menyifatkan rezeki terbabit sangat besar buat Siti.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *