Petaling Jaya: Shila Amzah, 32, mendakwa tidak pernah bertemu dengan Liza Hanim, 43, sepanjang penyanyi itu di bawah pengurusan syarikat rakaman SRC yang turut dinaungi bapanya, penyanyi ND Lala ketika itu.
Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah berkata, dia memang tidak pernah berpeluang bertemu muka dengan Liza berbanding penyanyi wanita SRC yang lain seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Mazleela.
“Di antara saya dan kak Liza memang tak pernah bekerjasama sebelum ini, termasuk ketika era kak Liza di SRC, saya tak pernah jumpa dengannya. Tapi saya memang tahu semua lagu yang dinyanyikannya melalui TV.
“Cuma, kesempatan saya betul-betul dapat bertemu dan kenal rapat dengan kak Liza ketika kami menyertai program The Masked Singer Malaysia musim kedua lalu dan kemudiannya terbabit dalam rancangan Masked Singer Raya. Selepas itu, baru kami rancang buat lagu duet bersama,” katanya.
Menurut Shila, dia boleh tahu sama ada pernah berjumpa Liza dulu atau tidak kerana mempunyai koleksi simpanan foto peribadi yang dirakamnya bersama artis-artis pernah ditemui ketika kanak-kanak lagi.
“Saya boleh tahu sama ada pernah jumpa kak Liza atau tidak, kerana saya ada semua koleksi foto. Macam contoh dengan kak Siti (Siti Nurhaliza), dengan kak Mazleela, semuanya ada. Tapi, dengan kak Liza memang tak ada, memang tak pernah jumpa bersemuka ketika itu.
“Lagi pun, sebabnya saya ada simpanan koleksi gambar-gambar itu kerana abah (ND Lala) adalah artis SRC juga. Jadi, memang sangat dekatlah sebenarnya walau semakin dekat dalam kejauhan,” katanya.
Terdahulu, Shila ditemui media pada majlis santai bersama Liza Hanim dan Shila Amzah sempena meraikan kemenangan di Anugerah Industri Muzik Ke-23 (AIM23) di sebuah restoran terkemuka, baru-baru ini.
Pada AIM23 itu, Shila dan Liza Hanim meraih dua trofi kemenangan menerusi kategori Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu dan kategori Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem atau Drama menerusi lagu Bahagiakan Dia.
Kreadit : hmetro.com