Pengerusi Jawatankuasa Anugerah Industri Muzik (AIM), Rosmin Hashim (tengah), Ketua Saluran Astro Ria, Prima dan Warna, Norzelaha Mohd Salleh bergambar bersama-sama lima calon akhir setiap kategori ketika sidang media pengumuman lima calon akhir AIM23 di Dadi Cinemas, Pavillion. FOTO AZIAH AZMEE

Kuala Lumpur: Tiga selebriti popular, Sherry Alhadad, Awal Ashaari dan Azad Jasmin dipilih sebagai pengacara Anugerah Industri Muzik Ke-23 (AIM 23 ) yang akan berlangsung pada 11 September ini di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Bertemakan Glam & Sophisticated, AIM23 juga bakal menyaksikan persembahan penyanyi popular tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Ella, Nikki Palikat dan Aina Abdul.

Persembahan pelbagai genre termasuk pop, rock, dance dan balada itu turut menghimpunkan penyanyi baru dan berbakat antaranya De Fam, Janna Nick, Vanessa Reynold, Hafiz Suip, Ernie Zakri, Amir Masdi, Insomniacks, Naufal dan Nuha.

Anugerah berprestij anjuran Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) itu juga menampilkan persembahan daripada penyanyi Indonesia, Keisya Levronka.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM23 dan RIM, Rosmin Hashim berkata, setiap selebriti yang membuat persembahan dan penyampai anugerah dipilih menerusi penilaian teliti bersama Astro.

“Selepas ditangguhkan selama hampir enam tahun, kami mengadakan pemilihan yang sangat teliti supaya penonton berpuas hati dengan persembahan artis dan penyampai pada malam itu.

“Trio dinamik itu dipilih sebagai hos kerana kami yakin dengan kemampuan mereka untuk menghiburkan serta menyuntik jenaka lucu supaya penonton tidak kering gusi, sekali gus menghidupkan suasana persembahan anugerah pada malam itu,” katanya.

Selebriti popular tanah air yang bakal menggalas tugas selaku penyampai anugerah ialah Datuk M Nasir, Ziana Zain, Khai Bahar, Wany Hasrita, Jaclyn Victor dan Datuk Adi Putra.

AIM23 akan dipancarkan secara langsung melalui saluran Astro RIA saluran 104 jam 9 malam.

kreadit : hmetro.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *