Kuala Lumpur: Pelakon Azrel Ismail, 38, menepis dakwaan karier lakonannya kini merudum akibat kemunculan lebih ramai bakat baharu dan muda yang mendapat perhatian watak utama daripada produksi serta stesen TV.
Azrel ditemui berkata, dia masih lagi ‘laku’ dan tetap ada menerima tawaran watak utama, namun perlu memilih mengikut kesesuaian cerita. Katanya, dia tidak mahu lagi terkait watak pelajar sekolah dengan wajah matang.
“Cukuplah sekali saya dikecam kerana melakonkan watak pelajar sekolah dalam drama Ramadan pada 2020 lalu. Sekarang, saya memilih watak yang sesuai kerana kematangan usia dan tidak mahu mencetuskan kontroversi.
“Apa yang pasti, saya tegaskan masih laku dan terima lagi watak hero drama. Cuma, saya yang melihat pada kesesuaian watak itu. Setakat ini pun, saya tak pernah rasa karier lakonan ‘merudum’ dengan kehadiran ramai pelakon baharu.
“Alhamdulillah, nama saya masih bertahan dalam industri dan apa yang nampak ‘merudum’ itu mungkin kerana tidak ada gosip cinta. Maklumlah, sebelum ini saya sering saja terkait dengan kisah cinta lokasi bersama beberapa pelakon wanita,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Azrel yang dikenali menerusi drama Menantu Ting Tong dan Isteri Dalam Sangkar ditemui pada majlis sidang media teater Maduku Terpaling Kalut untuk watak Selamat yang akan memulakan latihan pada 1 September ini.
Mengulas juga soal jodoh yang sering ditanya kepadanya, Azrel berkata, dia percaya jodoh masih ada untuknya. Namun, hingga kini belum lagi bertemu yang sesuai dan biarlah Allah saja yang menentukannya.
“Saya sentiasa yakin jodoh saya pasti ada, tapi bukan sekarang. Buat masa ini, saya belum lagi bertemu yang sesuai. Ditambah, saya pula selama ini sering dikaitkan dengan cinta lokasi yang tidak menjadi.
“Bagaimanapun, saya terima saja setiap gosip cinta itu yang pernah dikaitkan dengan Ruhainies dan Sharifah Husna. Bagi saya, yang pasti realitinya sehingga kini kami masih tetap berkawan baik,” katanya.
Mengulas karier seninya, Azrel berkata dia bersyukur jadual kerja sudah padat dengan ‘shooting’ sehingga November nanti. Katanya, dia juga masih ada beberapa tawaran lakonan yang kini dalam penelitian dan insyaAllah akan sibuk sehingga tahun depan.
Kredit: Harian Metro