KUALA LUMPUR: Penyanyi, Syura, 36, mengaku dia dan anak-anak lebih bahagia selepas menerima kehadiran suami, Muhammad Farizat Ismail dalam hidup mereka.
Syura atau nama sebenar, Zuraidah Badron berkata, dia gembira insan dikenali sejak lima tahun lalu itu berjaya menjadi bapa yang baik kepada tiga anaknya.
“Pastinya keadaan sekarang berbeza. Dahulu saya sendiri, sekarang sudah ada suami. Apa yang seronoknya, suami dan anak-anak rapat. Jadi saya benar-benar merasakan ikatan kekeluargaan antara kami.

“Anak-anak nampak gembira dengan kehadiran suami. Iyalah, sesiapa yang pernah memenangi gelaran ‘ibu tunggal’, pastinya fobia dan takut akan bercerai lagi… Saya juga begitu,” katanya kepada BH Online.
Syura mengaku disebabkan fobia, dia agak berahsia sebelum mendirikan rumah tangga bersama Muhammad Farizat yang juga ahli perniagaan. Semuanya kerana bimbang hubungan mereka tidak berpanjangan.
“Kalau kami beritahu awal, kalau tak jadi, malu. Bagi saya, tidak perlulah cerita dahulu. Apa yang penting sudah sah berkahwin, barulah kita cakap,” katanya.
Pada masa sama, Syura mengaku perkahwinannya menepis dakwaan konon menjalin hubungan dengan individu berpangkat Datuk, VVIP dan sebagainya.
“Saya mengaku memang ada yang mendakwa saya menjalin hubungan dengan orang sebegitu.
“Tidak perlulah tuduh saya jalin hubungan dengan orang berpangkat. Mereka yang menuduh saya, rasanya sudah boleh ‘move on’ sebab saya sudah berkahwin dengan orang biasa.
“Bukanlah maksud saya tidak berminat dengan orang berpangkat, tetapi saya lebih suka orang ‘sempoi’ dan yang boleh kita jadikan kawan,” katanya yang bernikah buat kali kedua dengan Muhammad Farizat pada 22 Januari lalu.
Kredit: Berita Harian