KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Floor 88, Ayie, 25, berhasrat membuka gerai berniaga di tepi jalan.

Tak kisah berniaga tepi jalan, sebaliknya, Ayie memilih mengetengahkan nasi lalap, iaitu nasi tradisi tempat kelahirannya, Tawau, Sabah.

“Saya mahu berniaga tepi jalan. Salah satu sebabnya, tak perlu fikir nak bayar sewa, hanya buat lesen dan pacak khemah tepi jalan sahaja.

“Jadi, mengapa tidak? Ia lebih memudahkan, tak payah fikir nak bayar bil elektrik, air atau sewa kedai,” katanya kepada BH Online.

Bagi penyanyi lagu Hutang dan Chikadun itu, tidak perlulah memikirkan status artis, orang kenal kita atau tidak sebab sekarang zaman semua orang tengah bergelut mencari duit.

“Jadi, saya fikir lagi seronok jika saya buka gerai di tepi jalan, berniaga nasi lalap,” katanya.

Jelas Ayie, nasi lalap adalah nasi ayam penyet dari Tawau, bezanya cuma pada sambal dan ayam.

“Saya berasal dari Tawau, jadi saya mahu bawa makanan popular di sana, namun, dengan resipi tersendiri,” katanya.

Ayie atau nama sebenarnya, Nik Fadlee Elhamshah berkata, dia bersyukur apabila restoran miliknya, Ayie Elham Cafe yang dibuka pada 2020 di Setapak, semakin pulih.

“Buat masa ini, perniagaan saya semakin pulih. Cuma, saya risau melihat kes jangkitan semakin menaik, nanti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.

“Saya tak mahu menghadapi PKP yang mana kita tak boleh makan di kedai, kerana itu yang membuatkan kami ‘sakit’.

“Alhamdulillah, setakat ini, saya masih boleh bertahan, walaupun dalam kepayahan,” katanya.

Ayie dan anggota Floor 88 akan mengerjakan umrah bersama pada Mei depan. - NSTP/Aziah Azmee
Ayie dan anggota Floor 88 akan mengerjakan umrah bersama pada Mei depan. – NSTP/Aziah Azmee

Sementara itu, berkongsi isterinya, Nur Natasha Ahmad Nawawi yang kini hamil empat bulan, Ayie berkata, dia bersyukur berjaya menangani tempoh awal kehamilan isterinya dengan baik.

“Sepanjang empat bulan, saya dapat menangani situasi seperti mengidam, emosi isteri dan sebagainya. Contohnya, pernah satu hari, jam 11 malam isteri mahu kuih raya.

“Saya muat naik dalam Instagram Story. Dan tak sampai lima minit, sepupu mesej mengatakan ayahnya menjual kuih raya. Jadi, mereka sanggup datang dari Rawang menghantar kuih raya ke kedai saya di Setapak.

“Berkat sokongan keluarga, sedikit sebanyak membantu kami. Namun, setakat ini, isteri tidaklah mengidam bukan-bukan seperti makan sabun dan sebagainya,” katanya.

Bertanya mengenai jantina bayinya, Ayie berkata, mereka masih belum mengetahui kerana menerusi imbasan dijalani, jantina masih belum boleh disahkan.

“Lagipun, saya tak mahu tahu jantina anak sebab biarlah menjadi kejutan. Mungkin sampai usia kandungan lapan bulan, baru saya nak tahu.

“Jadi, buat masa sekarang, saya beli pakaian dan barangan bayi yang kedua-dua jantina boleh pakai,” katanya yang menyimpan keinginan untuk menimang anak lelaki.

Ayie memaklumkan, dia bakal menunaikan umrah bersama kumpulan, Floor 88 pada Mei depan. Bagaimanapun, isterinya tidak dibawa bersama disebabkan risaukan keselamatan dan kesihatan kandungannya.

“Isteri memahami, ini adalah panggilan untuk saya dan kawan-kawan. Insya-Allah, ada rezeki saya akan membawanya bersama keluarga pula,” katanya.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *