KUALA LUMPUR: Bertunjangkan niat meningkatkan kesedaran rakyat terutama pelayar internet mengenai isu penyalahgunaan media sosial, Rentak Sehati Sdn Bhd bekerjasama dengan Cyber Security Malaysia di bawah agensi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), menerbitkan program Jari Neraka menerusi YouTube.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata usaha menerbitkan Jari Neraka diambil berikutan kekurangan program didikan seumpama itu dalam media sosial.
Sehubungan itu, Jari Neraka diharap dapat mendidik masyarakat terutama belia mengenai kesedaran penggunaan internet yang lebih positif selain memahami bahaya jenayah siber.
“Ini adalah program yang dapat mendidik masyarakat berhati-hati menggunakan media sosial berikutan ia menjadi saluran utama pengguna sekarang.
“Jadi, apabila kita lihat saluran ini digunakan secara negatif, melalui program yang dicetuskan Rentak Sehati ini, diharap dapat mendidik masyarakat mengenai kegiatan yang boleh menimbulkan keresahan ramai.
“Kami ucap tahniah kepada Rentak Sehati kerana menghasilkan program sebegini yang sekurang-kurangnya dapat memberi pengetahuan kepada masyarakat mengenai penggunaan media sosial,” katanya pada majlis pelancaran program realiti Jari Neraka di Subang Jaya, Petaling, kelmarin.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi.
Zahidi berharap lebih banyak syarikat produksi tampil dengan program didikan seperti Jari Neraka.
“Kami harap ini bukan yang pertama dan lebih banyak syarikat produksi lain tampil menghasilkan program sebegini dengan kerjasama dari Cyber Security.
“Usaha ini penting sebab kita boleh lihat, jika media sosial disalah guna, ia boleh menyebabkan negara kita huru-hara.
“Kita boleh lihat ada antara mereka yang menjatuhkan kerajaan dengan fitnah yang dikongsi melalui media sosial,” katanya.
Sementara itu, pencetus dan penerbit Jari Neraka, Tauke Jambu, berkata program yang dikendalikan bersama Zarina Anjoulie itu timbul selepas dia ditahan gara-gara terpalit fitnah kes pemerdagangan manusia, pertengahan tahun lalu.
“Ketika itu, saya sangat sedih dan hampir alami kemurungan. Jadi, saya banyak bersolat dan berdoa kepada Allah. Dari situ, terdetiknya ilham menghasilkan Jari Neraka.
“Kita sudah berada pada 2022. Jadi, kalau kita tidak membendung masalah dalam media sosial, risau ia akan menjadi wabak.
“Sebab kita boleh perhatikan masyarakat sekarang, kalau hendak kecam, mereka tidak kira siapa. Sampaikan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri pun menjadi mangsa kecaman, usah cakap artis sahaja,” katanya.

Disebabkan itu, Tauke berharap dengan adanya program sedemikian, dapatlah mengubah pemikiran masyarakat.
“Kita mahu masyarakat sentiasa berfikiran positif dalam setiap apa yang kami keluarkan dalam media sosial.
“Contohnya, tidak kisah apa pun kami kongsi dalam laman sosial, anda yang melihat fikir dahulu sebelum meninggalkan komen.
“Berdosa atau tidak jika anda meninggalkan komen sebegitu? Kadang-kadang kita tak sedar, ia boleh mengguris hati orang dan mengakibatkan perbalahan orang ramai.
“Pendek kata, program ini bertujuan mengajar netizen yang tiada adab. Saya tidaklah tujukan pada semua. Ada juga netizen yang positif,” katanya.
Bertanya mengapa tidak menayangkan program itu di stesen televisyen (TV), Tauke berkata, dia mencuba untuk mengetengahkan ideanya, namun, tidak diterima.
“Sebenarnya, saya sudah banyak menghantar idea saya ini. Tapi iyalah, saya kena sedar bahawa saya adalah Tauke Jambu. Tetapi ada juga program yang saya buat, diterima.
“Tak mengapalah, saya berasakan ada baik saya melakukan program saya sendiri. Saya sudah cuba berbicara dengan stesen TV.
“Tetapi saya faham penerimaan masing-masing. Mungkin stesen TV pun ada bajet tertentu,” katanya.
Tauke berkata, dia menerbitkan Jari Neraka bukan untuk mendapatkan pulangan kewangan semata-mata.
“Saya mahu mengubah dan mendidik masyarakat. Sebab kalau kita hantar ke stesen TV, mungkin kita dapat keuntungan.
“Tetapi saya fikirkan mesejnya lebih penting berbanding wang,” katanya.
Lima episod sudah siap antara lain memaparkan temu ramah bersama Iqram Dinzly, Zed dan Pencetus Ummah (PU) Amin.
Episod pertama Jari Neraka akan ditayangkan di saluran YouTube Rentak Sehati pada Jumaat ini jam 8.30 malam.
Kredit: Berita Harian