PENYANYI popular, Datuk Nash bangga dilantik sebagai duta Persatuan Anak Bangsa Johor (PABJ) dalam usaha menarik lebih ramai anak seni dari negeri itu menyertai persatuan yang ditubuhkan pada Mei lalu.
Nash atau nama sebenarnya Jamaluddin Elias, 62, berkata, pelantikan itu adalah satu kepercayaan dan amanah buat dirinya bagi mengeratkan silaturahim anak seni di Malaysia yang dianggarkan 70 peratus berasal dari Johor.
Penyanyi kelahiran Muar, Johor ini berkata, antara langkah awal dirinya sebagai duta ialah mencari seramai mungkin ahli baharu PABJ tidak kira usia dalam meningkatkan jumlah keahlian yang kini sekitar 217 orang.
“Saya sendiri sebelum ini tidak tahu yang saya menjadi artis pertama menyertai persatuan ini dan terharu dipilih menjadi duta PABJ. Saya akan menjalankan amanah yang diberi bagi menarik lebih ramai artis Johor menyertai persatuan ini. Sebagai anak Muar, saya berbangga menyertai PABJ dan ia dapat dijadikan sebagai satu platform bagi merapatkan silaturahim dalam kalangan rakyat Johor,” katanya.
Perasmian Kempen Pemacu Sasaran 1,000 ahli berlangsung di Bukit Jalil Golf & Country Resort pada 30 Disember lalu, disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof.
Menerusi majlis terbabit, turut diadakan penyerahan watikah Penasihat PABJ kepada Mejar Jeneral Datuk Oseman Chik (B), Ahli Bersekutu, Musa, Pengerusi PABJ, Datuk Abdullah Ali dan Nash.
Sementara itu, Presiden PABJ, Datuk Mohsen Hasbollah berkata, pihaknya memilih Nash memegang peranan terbabit berikutan reputasi besar dimilikinya dan dikenali dalam industri seni.
“Nash adalah artis pertama dari Johor yang menyertai PABJ dan diharap pelantikan sebagai duta ini dapat menarik lebih golongan artis dari negeri ini menyertai persatuan itu. PABJ ditubuhkan dengan tujuh matlamat utama bagi memperkasa Anak Bangsa Johor dalam bidang pendidikan, pelancongan seni dan budaya, ekonomi dan keusahawanan, multimedia dan komunikasi, kebajikan dan agama, keselamatan dan kesihatan dan sukan dan rekreasi.
“Kami menyeru lebih ramai anak-anak Johor menyertai persatuan ini dan keahlian juga dibuka kepada mereka yang tinggal di luar negara bagi menyumbang dan berkongsi idea memajukan PAB,” katanya.
Ketika ini ada 217 ahli menyertai PABJ dan Kempen Pemacu Sasaran 1,000 ahli ini bermula bulan ini sehingga Mac depan.
Mac lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memperkenankan penubuhan PABJ yang berperanan menyatukan anak negeri itu.
Maklumat lanjut mengenai PABJ boleh dihubungi melalui 03-80687878/7788 atau di Instagram @persatuananakbangsajohor dan Facebook Persatuan Anak Bangsa Johor.
KRADIT : HARIAN METRO