Senario muzik underground di Malaysia yang mengetengahkan muzik keras dan semangat Do It Yourself (DIY) mencapai kemuncak pada era 1990-an.
Band seperti Carburetor Dung dengan muzik punk rock, Naked Butterfly (funk rock), Mutilation (detah metal) dan Projekt A.K (hardcore, rapcore) adalah antara yang membarisi pentas gig dan showcase di seluruh negara ketika itu.
Pada 12 Disember ini, empat band berkenaan akan berkongsi pentas dalam konsert Revenge of the Rats di Bentley Music Auditorium di Mutiara Damansara, Kuala Lumpur.
Lebih menarik, nama The Revenge of the Rats mempunyai sejarah tersendiri apabila konsert dengan nama sama pernah berlangsung pada 30 Ogos 1993 di Garfunkel Pub, Life Centre, Kuala Lumpur.
Waktu itu, ia menghimpunkan band seperti Subculture, The Splatters, The Pilgrims, Chronic Mass dan Lovely Ugly Carnival, sekali gus menjadi antara contoh awal persembahan yang menemukan pelbagai aliran muzik dalam lingkungan gerakan underground tempatan.
Kumpulan Subculture turut merekodkan persembahan itu sebagai penampilan pentas pertama mereka, manakala perkongsian pentas antara kumpulan bukan metal menjadi antara perkembangan penting dalam landskap muzik alternatif ketika itu.
Justeru, penganjuran edisi 2026 membawa nilai nostalgia tersendiri kepada peminat yang mengikuti perkembangan muzik bawah tanah sejak era 1990-an, selain membuka peluang kepada generasi baharu mengenali sejarah berkenaan.
Kali ini, tumpuan pastinya ke arah Carburetor Dung yang tampil dengan ‘line-ups’ Carburetor Dung’95 yang dianggotai Lee (penyanyi), Joe Kidd (gitar), Fendi (bass) dan Ollie (dram).
Mereka bakal kembali berkongsi pentas selepas 27 tahun tidak beraksi bersama dalam ‘line-ups’ ini.

Selain itu, Naked Butterfly yang diiktiraf antara band underground terbaik walaupun hanya tampil dengan sebuah album, Dreamwalk pada 1995 turut dinanti-nantikan persembahannya.
Walaupun tanpa dua anggota iaitu Oz (gitar) dan Boy (gitar) yang meninggal dunia dan Mamal yang tidak turut serta, mereka digantikan oleh Jijoe (gitar) dan Andy Flop Poppy (bass) selain dua anggota asal iaitu Adrin (penyanyi) dan Che Mat (dram).
Turut mengambil bahagian ialah Mutilation yang mewakili aliran death metal serta Projekt A.K. yang mempunyai latar dalam muzik hardcore dan rapcore.
Gabungan empat nama itu memperlihatkan kepelbagaian aliran muzik yang menjadi sebahagian daripada identiti gerakan underground Malaysia sejak sekian lama.
Maklumat mengenai tiket berharga RM150 boleh didapati menerusi laman web MyTicket Empire.