Los Angeles : Selepas dua dekad menanti, kumpulan rock alternatif, My Chemical Romance (MCR) akhirnya mencipta sejarah apabila album ikonik mereka, The Black Parade, menduduki tangga pertama carta Billboard 200 buat kali pertama.

Pencapaian itu menyaksikan album berkenaan melonjak daripada kedudukan ke-139 ke puncak carta selepas diterbitkan semula dalam edisi mewah, dengan kutipan 78,000 unit album setara.

Menurut laporan Variety, album yang dilancarkan pada 23 Oktober 2006 itu sebelum ini pernah menduduki tangga kedua Billboard 200, sekali gus menjadi pencapaian tertinggi kumpulan berkenaan sehingga kejayaan terbaharu.

Lebih menarik, MCR mencatat tempoh penantian paling lama bagi sesebuah album untuk kembali menduduki tangga pertama carta berkenaan, mengatasi rekod hampir 16 tahun milik album 35 Biggest Hits nyanyian Toby Keith.

Kejayaan itu turut mencipta sejarah apabila The Black Parade dilaporkan menjadi album ulang tahun pertama yang berjaya muncul di tangga teratas carta Billboard 200.

Bagi meraikan ulang tahun ke-20 album berkenaan, MCR dilaporkan mengadakan siri persembahan selama lima malam di Hollywood Bowl, Los Angeles.

Menerusi persembahan itu, kumpulan berkenaan mendendangkan keseluruhan lagu dalam album The Black Parade, selain menghidupkan dunia dan konsep penceritaan karya berkenaan di atas pentas.

Ketika dilancarkan, album berkonsep opera rock itu menerima pujian kritis kerana memperlihatkan perkembangan muzik serta keberanian kumpulan berkenaan meneroka pendekatan lebih luas berbanding karya terdahulu.

Album berkenaan turut memuatkan beberapa lagu popular termasuk Welcome to the Black Parade dan Teenagers.

Sementara itu, carta Billboard 200 minggu ini menyaksikan album You Seem Pretty Sad for a Girl So in Love nyanyian Olivia Rodrigo merosot daripada tangga pertama ke kedudukan kedua.

Tempat ketiga pula menjadi milik Morgan Wallen menerusi I’m the Problem, diikuti Dandelion oleh Ella Langley dan The Great Divide nyanyian Noah Kahan.

Taylor Swift menerusi The Life of a Showgirl dilaporkan berada di tangga keenam, diikuti Young Manhood and Other Donatable Organs oleh Zach Bryan.

Noah Kahan turut menghuni tangga kelapan menerusi Stick Season, manakala Drake menerusi Habibti di kedudukan kesembilan dan Olivia Dean dengan The Art of Loving melengkapkan senarai 10 teratas.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *