Siri 1
norhayati_nordin@hmetro.com.my
YANK Kassim cukup dikenali dalam kalangan penggiat seni terutama di belakang tabir, pengarah dan penerbit produksi yang mengetahui akan kemampuan bakatnya.
Sudah aktif berlakon kira-kira empat dekad sejak 1987, Yank, 59, lebih dikenali dengan watak antagonis hingga membuat penonton benci, geram dan marah, serta hebat beraksi dalam aksi lagak ngeri.
Berbicara pembabitan dalam karier seni, Yank berkata, apa-apa kerja yang nak dibuat kena ada minat dan keinginan mencuba. Ia termasuk, keputusan dibuatnya untuk menjadi artis atau anak seni.
“Saya orang Selangor yang lahir dan membesar di Sungai Pelek. Ketika remaja selepas tamat sekolah, saya bantu ibu berniaga di kedai makan sebagai cef dan saya pakar memasak makanan Cina.
“Semua resepi saya belajar daripada tukang masak yang lebih pakar iaitu emak saya. Jadi, kiranya sebelum jadi pelakon, saya sudah dikenali orang kampung dengan bakat memasak,” ujarnya.
Mengulas mengenai darah seni diwarisi daripada keluarga, Yank atau nama sebenar, Yusof Mohamed Kassim berkata dalam adik-beradik, hanya dia seorang yang serius terbabit sebagai artis.
“Alhamdulillah, dalam keluarga saya seorang sahaja yang kiranya jadi selebriti. Memang tiada seorang pun dalam keluarga saya berdarah seni, sama ada pemuzik ke, penyanyi dan pelukis.
“Cuma, saya yang tidak sambung belajar selepas tamat sekolah. Tetapi, abang dan adik saya teruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, dan sebab itu saya bantu emak jadi tukang masak.
“Sambutan pelanggan pun bagus, sebab masakan saya mungkin sedap. Malah, saya juga ‘entertainer’ di kedai kami kerana kadang-kadang beraksi macam-macam gaya memasak ketika di dapur,” katanya.
Sering tampil dengan wajah serius, Yank berkata, dia seorang yang mudah terhibur dan suka tersenyum. Tetapi, orang tidak mengenalinya dengan rapat, cepat membuat pelbagai tanggapan.
“Di set penggambaran, saya okay sahaja berbual-bual dan ketawa dengan rakan-rakan pelakon lain. Tetapi, bila giliran masuk ke set, dan pengarah cakap ‘action’, saya memang terus jadi watak yang dibawa.
“Saya serius ketika bekerja kerana melakonkan watak itu tanggungjawab saya dan tidak boleh sambil lewa atau main-main. Apatah lagi, saya ini seorang pelakon ‘low profile’.
“Memang saya pilih biar dengan tunjuk produk sahaja untuk orang terima lakonan kita. Jadi, kalau kata muka saya serius dan garang sampai orang takut, tidak apalah sebab saya tidak pernah ada kontroversi,” jelasnya.
Yank berkata, industri seni sangat mencabar walaupun nampak seronok depan mata, tetapi bila sudah masuk ke dalam dunia itu (seni), kena bijak buat pilihan jalan mana nak diikut.
“Ada banyak jalan terbuka untuk kita pilih. Cuma, kalau kita pilih jalan salah, maka boleh jadi ‘jahanam’. Namun, jika buat betul-betul pula kita boleh pergi lama serta mampu buat duit. Tetapi, ada juga jalan pintas.
“Kalau jalan pintas ini memang cepat boleh naik dan boleh jatuh juga sampai kalau kita nak bangkit semula pun, agak payah. Lebih-lebih lagi, sekarang ini pada zaman media sosial dengan kemunculan netizen,” katanya.
Ujar Yank, selebriti masa kini baginya perlu kental fizikal dan mental. Sebab, pada era media sosial boleh tengok setiap pujian, kritikan, kecaman dan apa sahaja dimuatnaik mudah tersebar serta menjadi tular.
Bawa nama melangkah ke luar negara
Walaupun dari segi populariti pada kalangan penonton tempatan, mungkin tidak ramai mengenali nama Yank, tetapi wajahnya sangat ‘familiar’ dalam bermacam genre drama, telefilem dan filem.
Sebagai ‘legend’ untuk watak-watak ‘villain’, Yank sudah menyahut cabaran melakonkan karakter ‘jiwang’ dan komedi berdasarkan jalan cerita. Tetapi, mungkin paling diingati adalah karakter ‘hitam’ dan gangster.
“Walaupun kebanyakan watak saya banyak jadi jahat, tetapi karakter itu membawa saya melebarkan karier lakonan hingga ke luar negara. Sehingga kini, saya sentiasa dapat tawaran bekerja dengan produksi luar.
“Saya sudah bekerja dengan produksi daripada Amerika Syarikat, India, Taiwan, Hong Kong, Thailand, Indonesia dan banyak negara lagi sebagai pelakon dan ‘stuntman’ (pelakon aksi lagak ngeri).
“Bagi saya, itulah macam dikatakan ‘biar produk yang berbicara’, dan Alhamdulillah untuk pencapaian diri saya sebagai pelakon sudah dibuktikan. Jadi, syukur sangat tawaran lakonan saya tidak putus.
“Malah, portfolio hasil kerja seni saya dalam empat tahun kebelakangan ini juga amat dibanggakan kerana saya banyak dapat peluang bekerjasama dengan produksi luar negara. Pelbagai pengalaman dan ilmu baharu yang saya timba,” katanya.
Antara filem lakonan Yank ialah Maria Mariana, Gemilang, Bara, Leftenan Adnan, Syukur 21, Senario Lagi, Gerak Khas The Movie, Black Maria termasuk Anna and the King (produksi Amerika Syarikat), Skyline Cruises (Hong Kong), Kabali (Tamil) dan KSatria (Indonesia).
Manakala drama serta telefilem pula, seperti Impak Maksima the Series, Ceplos, Gerak Khas, Yusuf, Laila Manja, Dendam, Syair Si Pari-Pari, Misteri Banglo Putih, Pak Nil Ibu Kirim Salam dan Terpanah Asmara.
ESOK: Teroka industri Kollywood (Tamil) dan Timur Tengah