Kuala Lumpur: Pelakon, Jazmy Juma mengakui tidak pernah berkecil hati apabila dilabel sebagai pelakon ‘kayu’, malah menganggap kritikan netizen sebagai teguran membina buat dirinya.
Jazmy atau nama sebenar Jazmy Khan Juma Khan, 28, berkata dia bersyukur apabila menerima maklum balas sedemikian terutama membabitkan kelemahan diri kerana tidak semua orang berani berterus-terang.
“Saya tidak ambil hati langsung, Alhamdulillah. Saya rasa gembira ada orang komen pasal saya, lagi-lagi komen pasal keburukan sebab susah untuk orang berterus-terang mengenai kelemahan kita.
“Malah, saya sangat bersyukur sebab tidak semua orang berani nak cakap benda (kelemahan) itu. Dari situ, saya boleh betulkan apa yang kurang.
“Bila penonton cakap begitu, sekurang-kurangnya saya tahu lakonan saya belum cukup hebat berbanding orang lain. Saya kena tingkatkan lagi mutu lakonan, belajar lagi dan tidak berada dalam zon selesa,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama terbaharu, Dua Nyawa untuk saluran iQIYI, di sini, semalam.
Menurut Jazmy, mengabaikan kritikan atau pandangan penonton hanya akan merugikan diri sendiri dalam usaha menjadi pelakon yang lebih baik.
“Kalau saya duduk dalam zon selesa dan abaikan semua komen atau kritikan orang, rugilah saya. Kenapa saya tidak mahu terima apa yang orang cakap dan betulkan kesalahan sendiri?
“Kita tidak boleh nampak diri sendiri melainkan cermin yang beritahu apa yang kurang. Jadi kalau tak ada cermin, orang lainlah yang kena beritahu apa yang salah dan tidak betul,” katanya lagi.
Ditanya sama ada timbul perasaan kecewa apabila dilabel sedemikian, Jazmy menegaskan dia melihat perkara itu daripada sudut positif.
“Tidak kecewa langsung. Saya bersyukur sangat sebab Allah yang gerakkan dia untuk cakap begitu dan sedarkan saya bahawa di mata segelintir orang, saya belum cukup bagus, walaupun mungkin di mata orang lain, saya dah okay.
“Lagipun kalau orang setakat cakap lakonan ‘kayu’, apalah sangat. Benda yang betul kita boleh perbaiki, kita betulkan,” kongsinya.
Sementara itu, Jazmy turut berkongsi dia sentiasa terbuka menimba ilmu dan kerap memohon tunjuk ajar daripada pelakon senior ketika berada di set penggambaran.
Dalam perkembangan lain, drama Dua Nyawa bakal ditayangkan di platform iQIYI bermula 13 November depan.