Kuala Lumpur : Penyanyi Indonesia, Rizky Febian kini lebih memilih gaya hidup sihat dan itu perubahan ketara dalam rutin hariannya sejak bergelar suami dan ayah.
Rizky, 28, ketika ditemui pada sidang media Malam Rawan Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur berkata, isterinya, Mahalini dan anaknya, Zairee Selina Quinlyn Kareema Febian menjadi pendorong utama untuknya.
“Banyak perkara yang mengubah hidup saya, salah satunya dari segi kesihatan. Saya mula bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat kerana mahu mempunyai lebih banyak masa bersama isteri dan anak.
“Perkara itulah yang menjadi pendorong untuk saya berdiet. Saya mahu sentiasa sihat untuk membahagiakan mereka berdua. Saya bersyukur kerana Allah memberikan rezeki yang melimpah, isteri dan anak yang cantik,” katanya kepada Harian Metro.
Penyanyi lagu Hingga Tua Bersama itu juga turut berkongsi mengenai kematangan yang mula dirasakannya sejak bergelar ketua keluarga sekali gus turut mendalami ilmu perniagaan selain fokus kepada karier seni.
“Perubahan terbesar lain adalah saya kini lebih dewasa dalam membuat keputusan dan mempunyai pemikiran jangka panjang untuk masa depan keluarga.
“Sebab itulah sekarang saya fokus kepada syarikat rakaman, belajar perniagaan dan membangunkan jenama minyak wangi untuk Lini (Mahalini).
“Saya berusaha untuk terus berinovasi demi membahagiakan mereka berdua semampu saya,” katanya.
Terbaharu, Rizky bakal menggegarkan pentas Zepp Kuala Lumpur pada 29 November menerusi konsert Malam Rawan Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur.
Berkongsi mengenai persiapan menuju hari konsert berkenaan, Rizky berkata, ia satu proses menyeronokkan.
“Sebenarnya, menyeronokkan sekali kerana persiapannya sudah bermula awal. Bagaimanapun, rasa gemuruh itu tetap ada walaupun ini akan menjadi kali ketiga saya tampil membuat persembahan di Kuala Lumpur,” katanya.