Kuala Lumpur : Kumpulan muzik rock alternatif Indonesia, Nidji berpandangan bahawa muzik terus menjadi pengikat silaturahim yang dapat menyatukan rakyat Malaysia dan Indonesia.

Menurut vokalisnya, Yusuf Ubay, mereka menggalas tanggungjawab besar sebagai pemuzik untuk menyebarkan mesej membina demi memelihara keharmonian hubungan antara kedua-dua buah negara.

“Jangan sampai apa-apa perbezaan itu memecah belahkan dan memisahkan kita. Harapan Nidji adalah muzik dapat menyatukan kita semua, sama ada dari Indonesia, Malaysia atau mana-mana negara.

“Kita boleh bersatu menerusi sesuatu yang dapat dinikmati bersama. Janganlah ada perpecahan, janganlah ada perbezaan itu. Sebagai pemuzik, satu-satunya cara untuk kita menyatukan semua orang adalah melalui muzik itu sendiri,” katanya ketika sidang media Nu Fest 2027, hari ini.Advertisement

Ditanya mengenai kebimbangan konflik di media sosial antara rakyat Malaysia dan Indonesia yang memuncak hingga isu boikot timbul, Ubay menasihati orang ramai untuk tidak terus melayan perkara negatif itu.

“Kalau perpecahan, perbalahan itu jangan terlalu fokusnya ke situ. Kita Indonesia dan Malaysia adalah negara tetangga, kita juga negara yang bersahabat, bersaudara.

“Jadi jangan sampai kita fokus ke situ saja, cuba kita melihat hal baik lainnya yang boleh kita wujudkan bersama,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ubay turut berkata, sebagai pemuzik dia mahu menjadi penenang keadaan yang menyatukan dua negara ini.

“Kami sebagai pemuzik mahu menjadi pihak yang boleh menyatukan kedua-dua negara ini.

“Walaupun terdapat banyak perbezaan pendapat atau perpecahan, kami mahu menjadi kekuatan pihak yang boleh menenangkan antara dua rumpun ini,” kongsinya.

Sementara itu, Ubay berharap agar kedua-dua rakyat negara ini tidak melayani perselisihan yang berlaku dan menghargai muzik untuk terus mencipta kenangan bersama-sama.

“Harapan saya kepada teman-teman di sini, buanglah perkara itu jauh-jauh. Kami datang membawa cinta, kebersamaan dan kita bawa cerita baru untuk kita kenang memori indah ini untuk seterusnya,” ujarnya.

Terdahulu, perselisihan faham antara netizen Malaysia dan Indonesia berlaku selepas satu jenama Indonesia dipercayai memuat naik hantaran yang dianggap menyentuh sensitiviti negara.

Hantaran berkenaan dipercayai berpunca daripada perdebatan mengenai segelintir rakyat negara Indonesia yang didakwa memandang rendah pasukan bola sepak Malaysia selepas skuad Indonesia menjuarai Piala ASEAN FIFA 2026 dengan menewaskan Thailand.

Dalam perkembangan lain, Nidji bakal tampil di festival muzik Nu Fest 2027 yang akan berlangsung di Stadium Merdeka pada 30 Januari depan.

Festival anjuran COMs Creative Studio ini menghimpunkan muzik, budaya, kreativiti dan gaya hidup dalam festival yang dirancang untuk generasi muda Malaysia.

Selain Nidji, festival ini turut menghimpunkan barisan artis seperti Masdo, The Changcuters, Dukes, Lokarya, The Beretta’s, Saja dan ramai lagi.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *