Kuala Lumpur : Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun menegaskan, kualiti kerja dan kebolehan membawakan diri dalam kalangan penggiat muzik nasyid adalah faktor utama untuk meraih penghormatan serta penilaian yang adil dalam industri hiburan.
Menurut Hafiz, 42, kejayaan sesebuah karya bukan diukur semata-mata menerusi pendedahan media atau mengejar populariti, sebaliknya kualiti hasil kerja itu sendiri yang akan membuka ruang dan peluang buat penggiat muzik berkenaan.
“Sebenarnya tidak kira sama ada kita ini dikenali atau tidak, kita jangan rasa tersisih jika tidak diberikan ruang. Kalau kita mahu mengejar populariti atau glamor semata-mata, benda itu akan datang sendiri tanpa perlu kita bersusah payah meraih perhatian.
“Dalam hal kerjaya, jika kita buat karya yang berkualiti, pasti ada juri profesional dan khalayak yang menilai. Contohnya, saya sendiri pernah menjadi juri Anugerah Industri Muzik (AIM) dan penilaian sentiasa dibuat secara adil tanpa mengira artis baharu atau lama,” katanya kepada Harian Metro.Advertisement
Diminta mengulas dakwaan kononnya penggiat seni serta artis nasyid tempatan sering ‘dipinggirkan’ dan kurang diberi pendedahan oleh pihak media, bekas anggota kumpulan UNIC itu menolak dakwaan berkenaan.
Menurutnya, perbezaan jurang pendedahan berlaku disebabkan segelintir penyanyi nasyid lebih selesa menyendiri berbanding bergaul dengan pengamal media atau penggiat seni arus perdana yang lain.
“Saya tidak pernah rasa artis nasyid ‘dianaktirikan’. Cuma kadang-kadang saya faham ada artis nasyid yang segan untuk hadir ke majlis hiburan terbuka atau lebih suka menyendiri dan bergaul sesama sendiri sahaja.
“Bagi saya, tidak perlu salahkan penganjur majlis atau artis itu sendiri, sebaliknya kita kena cari titik pertemuan dan pandai membawa diri.
“Jika orang belum kenal, kitalah yang perlu hadir memulakan salam dan memperkenal diri dengan cara yang baik, bukannya saling menyalahkan,” katanya.
Mengulas mengenai tanggapan stereotaip imej penasyid, Hafiz menambah bahawa penampilan berlandaskan syariat seperti berpakaian kemas atau berkopiah tetap boleh disesuaikan mengikut majlis tanpa mengetepikan batas agama.
“Paling penting adalah cara kita membawa diri, merendah diri dan mahu bergaul. Apabila wujud hubungan kerja yang baik antara artis, pihak media dan warga di belakang tabir, secara tidak langsung kerjaya seni akan lebih menyerlah,” katanya.