Kuala Lumpur: Pemenang tempat ketiga Miss World Asia 2026, Taanusiya Chetty sudah bersedia untuk ‘terjun’ dalam industri hiburan dan bergelar pelakon jika diberi peluang oleh penerbit yang mempercayai bakat serta kemampuannya.
Taanusiya, 26, atau mesra disapa Taanu mengakui minat dalam bidang lakonan dan menyimpan hasrat bergelar pelakon malah pernah ‘dirisik’ syarikat produksi yang menawarkannya untuk membintangi sebuah drama sebelum menyertai Miss World Asia 2026.
Bagaimanapun, Taanusiya terpaksa menolak dengan baik tawaran itu kerana bimbang terikat dengan kontrak hingga tidak dapat memberi komitmen seperti yang diharapkan.
“Selepas ini kalau ada peluang (berlakon) saya tidak akan cakap tak kerana nak cuba masuk dalam industri hiburan Melayu dahulu dan berlakon dalam drama tempatan.
“Kalau ada tawaran berlakon muzik video (MV) pun saya okay. Ayah pun tak ada halangan dan okay saja walaupun dulu tidak.
“Emak pula bila okay (izinkan), ayah tak okay tapi saya pun ada degilnya juga jika mahukan sesuatu,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas berkenaan wajahnya yang dikatakan persis pelakon dan model, Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan atau Haneesya Hanee, Taanusiya menerima pandangan segelintir warganet itu dengan hati yang terbuka.
“Tak mengapa (disamakan) dan saya pun tahu mengenainya kerana ada terbaca komen di media sosial.
“Pernah satu hari, ada seorang individu datang tegur saya kemudian kata dia jumpa saya semalam sedangkan tidak.
“Saya rasa mungkin kami ada iras sedikit pada bahagian mata tapi saya okay saja (disamakan) dan anggap ia satu pujian kerana Haneesya gadis yang cantik,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kejayaan Taanusiya mengulangi pencapaian negara 28 tahun lalu apabila meraih tempat ketiga dalam pertandingan akhir Miss World Asia 2026 yang berlangsung di Nha Trang, Vietnam pada 6 September lalu.
Taanusiya berada di Vietnam selama enam minggu dan tiba di tanah air pada petang Sabtu lalu.
Kepulangannya disambut ahli keluarga terdekat termasuk ibu bapa dan rakan serta ratusan penyokong yang tidak datang dengan tangan kosong sebaliknya membawa hadiah dan jambangan bunga sebagai buah tangan.
at