Kuala Lumpur : Usahawan selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri, tidak dapat menyembunyikan rasa teruja apabila impiannya bertemu personaliti perniagaan dan pencipta kandungan popular, Pinn Yang, akhirnya menjadi kenyataan secara tidak disengajakan.
Aliff, 39, berkata pertemuan secara spontan itu memberikan impak bermakna apabila mereka bukan sahaja berkongsi pandangan mengenai pemasaran digital, malah membuka ruang kerjasama julung kali menerusi Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (KHPM) 2026.
“Saya memang sudah lama teringin untuk bertemu Pinn Yang. Apabila pertemuan ini berlaku secara tidak sengaja, saya rasa sangat teruja kerana kami dapat berkongsi pandangan dan pengalaman dalam dunia perniagaan.
“Pada masa yang sama, saya turut menerima tawaran daripada pihak Pinn Yang untuk bersama-sama menjayakan KHPM 2026 yang buat julung kalinya akan berlangsung di Pulau Pinang,” katanya.
Sementara itu, Pinn Yang yang dikenali menerusi perkongsian perniagaan di platform TikTok menyifatkan usahawan kosmetik berkenaan mempunyai aura tersendiri dalam membina jenama.
“Apabila pertama kali bertemu dengan Dato Seri Aliff Syukri, saya dapat merasakan ‘chemistry’ (keserasian) yang baik antara kami. Saya sangat kagum dengan personaliti beliau dalam bidang perniagaan, selain kandungan yang dihasilkan di media sosial.
“Banyak perkara yang kami kongsikan dan bincangkan bersama, terutamanya berkaitan pengalaman serta bagaimana media sosial boleh dimanfaatkan untuk membina jenama,” ujarnya.

Pertemuan dua nama besar dalam dunia perniagaan dan kandungan digital ini bakal disatukan di atas satu pentas menerusi KHPM 2026 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang selama dua hari pada 26 dan 27 September ini.
Karnival julung kali anjuran Monie (di bawah Foodie Media Berhad) dan Spire Digital dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu bakal menghimpunkan pemilik Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), usahawan serta persatuan industri dari seluruh negara.
Selain sesi pembentangan perniagaan (pitching) dan sesi jaringan perniagaan (networking), acara berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan barisan artis popular tanah air seperti Ratu Rock negara Ella, Ara Johari, Shasha Rizal, Wany Hasrita, Nabila Razali dan Nuha Baharin.