Kuala Lumpur: Tidak pernah mengunci pintu hatinya untuk kembali mendirikan rumah tangga, pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz menyerahkan sepenuhnya soal jodoh kepada ketentuan Ilahi.
Menurut Aliff, 35, keutamaannya ketika ini lebih tertumpu untuk memperbaiki kelemahan diri dan menjadi insan yang lebih baik.
“Untuk kata hati saya sudah tertutup, segala rezeki, jodoh, ajal semuanya saya serah bulat-bulat pada Allah. Saya pegang kepercayaan itu.
“Biar Allah yang tentukan, insya-Allah. Cuma saya belajar kalau hendak dapat pasangan baik, mestilah saya kena jadi baik.
“Saya kena fokus ke arah itu. Takkan saya hendak menghakimi orang, saya pun ada rekod yang tak berapa baik (kontroversi) sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama terbaharu terbitan iQIYI, Madu Atau Racun di A Quite Place, di sini, semalam.
Dalam pada itu, selebriti kelahiran Singapura ini mengambil pendekatan untuk mengunci mulut dan tidak mengulas panjang mengenai status dirinya ketika ini.Loading…00:0001:00Tonton Non Stop, On Top!
“Saya tidak mengiyakan atau menidakkan (sama ada sudah bertemu jodoh). Bukan apa, kalau saya jawab lebih banyak pula isu menjadi perbincangan.
“Jadi, saya memilih untuk tidak berkongsi. Saya memilih untuk fokus kepada cerita perjalanan kerjaya saya. Selebihnya itu, tak perlulah saya ulas,” katanya.
Sementara itu, pelantun lagu Kalau Cinta ini turut meluahkan rasa terharu kerana masih ada pihak yang memberikan peluang untuk terus berkarya walaupun pernah terpalit pelbagai kontroversi dan ujian hidup.
“Alhamdulillah, saya masih diberi kesihatan tubuh badan, diberi ruang dan peluang untuk berkarya. Saya doa mudahkanlah apa sahaja bebanan yang ada di bahu ini atas kelemahan sendiri. Kuatkan hati untuk saya dapat maafkan diri sendiri.
“Bukan saya ‘play victim’, tidak. Daripada muda sampai sekarang sekiranya saya tersilap langkah, saya akan mengaku salah,” kongsinya.
Bercerita lanjut, Aliff tidak mahu lagi dibayangi kisah lalu dengan penyesalan yang berpanjangan kerana kehidupan perlu diteruskan dengan positif.
“Saya hanya mencari kekuatan untuk memaafkan diri kerana hidup harus diteruskan. Alhamdulillah tahun ini saya sudah berusia 35 tahun.
“Saya tiada masa untuk hanya duduk merenung nasib kerana waktu berputar. Takut nanti, bila saya buka mata sudah tak sempat hendak buat apa-apa.
“Jadi saya mahu jalan terus dengan harapan besar agar Allah maafkan saya. Kalau saya buat macam ini, hati jadi lapang dan mudah membawa aura positif dan rezeki insyaAllah dipermudahkan,” katanya.
Untuk rekod, Aliff pernah berkahwin dengan pelakon dan penyanyi Bella Astillah, bagaimanapun mereka berpisah pada 13 Jun 2024.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6.