Kuala Lumpur : Melahirkan lebih ramai ‘content creator’ atau pencipta kandungan yang mampu menjana pendapatan stabil dan mempunyai masa depan terjamin menjadi antara komitmen utama yang terus dipacu oleh Ketua Pegawai Eksekutif Asia, Datuk Abd Rahman Soltan.
Menurut beliau, seiring dengan kepesatan dunia digital hari ini, golongan muda mempunyai peluang sangat luas. Bagaimanapun, populariti yang dikecapi perlu disuntik dengan bimbingan serta hala tuju yang betul agar dapat diterjemahkan kepada nilai jangka panjang.
“Tahun ini antara fokus utama kami adalah untuk membentuk lebih ramai influencer dan content creator yang bukan sekadar mengejar populariti, tetapi mampu menjadikan platform mereka sebagai sumber pendapatan dan masa depan yang lebih baik.
“Melalui program khas kita mahu membantu generasi muda memahami bagaimana mereka boleh menggunakan pengaruh yang ada untuk menambah pendapatan dan membina kehidupan yang lebih stabil,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau ditemui pada majlis sambutan hari lahirnya yang diraikan meriah bersama hampir 100 pempengaruh tanah air, baru-baru ini.
Mengulas mengenai tema sambutan yang diinspirasikan daripada Raja Pop dunia, mendiang Michael Jackson, Abd Rahman menjelaskan pemilihan tersebut dibuat kerana kagum dengan nilai legasi figura itu yang kekal merentas zaman.
“Michael Jackson bagi saya ialah simbol legasi dan juga satu figura yang masih meninggalkan tanda tanya besar kepada dunia. Walaupun sudah lama tiada, generasi muda masih mengenali karya beliau. Itu menunjukkan hasil kerja yang memberi impak akan terus hidup merentas generasi,” jelasnya.
Majlis yang berlangsung penuh bertenaga itu diserikan dengan persembahan daripada penyanyi Agy, selain trio pempengaruh Imranul Effendy, Izlann Iskandar dan Boi Baek.
Turut kelihatan hadir ialah wajah-wajah popular media sosial seperti Puteri Sari, Reyzal Yazmi, Puspagomen dan ramai lagi.
Jelas Abd Rahman, platform yang dibangunkan pihaknya tidak hanya terhad kepada pencipta kandungan semata-mata, malah memberi ruang yang adil kepada penyanyi, pelakon serta usahawan muda untuk berkembang bersama.
Beliau memetik kejayaan beberapa bakat bimbingannya sebelum ini seperti Imranul Effendy dan Harissa Adlynn sebagai bukti nyata bagaimana landasan digital mampu mengubah keseluruhan carta kehidupan seseorang.
“Kita sudah melihat sendiri bagaimana ada yang bermula sebagai ‘content creator’ dan akhirnya berjaya melangkah ke bidang lebih besar termasuk lakonan dan filem. Sesuatu yang amat membanggakan dan itu adalah misi serta visi kami sejak awal,” katanya.
Berkongsi strategi seterusnya bagi memperkukuhkan pasaran industri kreatif tempatan, Abd Rahman mendedahkan pihaknya kini sedang merancang pembangunan kandungan berbentuk mini siri dan filem.
Istimewanya, projek-projek berkenaan akan mengetengahkan bakat-bakat pempengaruh tempatan secara total untuk diangkat sebagai pelakon dan penggiat seni profesional.
“Matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan lebih ramai bakat muda yang bukan sekadar dikenali di media sosial, tetapi mampu mencipta kerjaya yang lebih besar dan disegani dalam industri hiburan tanah air,” ujarnya.