KUALA LUMPUR: Sesuai dengan inisiatif penjenamaan semula, Koperasi Industri Muzik Malaysia Berhad (Kopstar) yang ditubuhkan sejak 2009 meletakkan sasaran menambah keahlian kepada sekurang-kurangnya 1,000 orang menjelang akhir tahun ini.

Ketika ini, Kopstar memiliki kira-kira 240 ahli merangkumi penggiat industri muzik.

Pengerusi Kopstar, Norkhayati Mohd Hashim yang juga penulis lirik terkenal menggunakan nama pena Baiduri memberitahu, pihaknya mengalu-alukan individu yang berkecimpung dalam industri muzik menyertai koperasi itu.

“Misi dan visi kami mahu menjadikan Kopstar badan korporat yang disegani dan dihormati.

“Sebagai sebuah koperasi, selain terbabit dalam perniagaan yang menjana pendapatan, kami mahu mengubah landskap industri muzik agar lebih positif dan berdaya saing.

“Jadi, untuk menggerakkan Kopstar, kami mengalu-alukan sesiapa sahaja yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam bidang muzik untuk menyertai kami.

“Tidak kiralah sebagai pemuzik, penyanyi, pensyarah, guru, penuntut universiti, pelajar sekolah atau sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan muzik, boleh sertai Kopstar.

“Secara tidak langsung, ini memberi peluang kepada kami berkongsi kepakaran dalam bidang masing-masing. Selain itu, lebih banyak aktiviti dapat digerakkan demi menarik semula kepercayaan ahli dan mereka yang baru menyertai kami,” katanya kepada HIP.

Norkhayati yang dilantik sebagai Pengerusi Kopstar bagi penggal 2021 hingga 2023 berkata, pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) akibat penularan COVID-19 mengakibatkan pelbagai rancangan menggerakkan aktiviti koperasi terbatas.

Norkhayati bertukar dokumen dengan Pengurus Syarikat Falcon Sdn Bhd, Dansen Low pada majlis menandatangani persefahaman (MOU). Foto Ihsan Kopstar. Foto Ihsan Kopstar
Norkhayati bertukar dokumen dengan Pengurus Syarikat Falcon Sdn Bhd, Dansen Low pada majlis menandatangani persefahaman (MOU). Foto Ihsan Kopstar. Foto Ihsan Kopstar

Tambahnya, pihaknya merangka strategi mengikut kesesuaian semasa iaitu dengan menganjurkan aktiviti atas talian seperti klinik muzik.

“Hala tuju kami adalah untuk menambah ilmu yang lebih kreatif, moden dan terkini.

“Kita tidak akan tiru apa yang pernah dilaksanakan pucuk pimpinan terdahulu. Apatah lagi, situasi sekarang sangat berbeza.

“Kami merancang memantapkan bahagian e-pelajaran dan e-akademi dengan penganjuran klinik muzik yang dibimbing ahli berkelayakan.

“Dengan cara itu, ia dapat membantu koperasi menjana pendapatan tanpa perlu bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata.

“Tambahan pula, dalam keadaan sekarang, aktiviti persembahan secara tertutup atau terbuka tidak dibenarkan.

“Jadi, kami perlu memikirkan alternatif menjana pendapatan agar suatu hari nanti ia dapat digunakan untuk tujuan lain seperti kebajikan ahli,” katanya.

Norkhayati berkata, antara aktiviti dirangka adalah projek usaha sama dengan sekolah seni, badan bukan kerajaan (NG0), badan kesenian kerajaan dan universiti dengan menjadi pembekal serta penyedia perkhidmatan muzik.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Kopstar, Alfaa Booty berkata, sejak ditubuhkan lebih 10 tahun lalu, ramai tidak menyedari kewujudan Kopstar termasuk dalam kalangan penggiat seni.

Alfaa berkata, melalui pengurusan baharu, pelbagai aktiviti dirangka bagi mempertingkatkan jenama dan pengisian.

“Sebelum ini, Kopstar kurang diketengahkan. Jadi, melalui pengurusan baharu yang mengambil alih Kopstar sejak tiga bulan lalu, kami cuba menggerakkannya agar lebih dikenali.

“Agak merugikan kerana dalam tempoh lebih 10 tahun ditubuhkan, kita tidak nampak hasilnya,” katanya.

Sehubungan itu, Alfaa berkata, pihaknya menyasarkan keahlian sekurang-kurangnya 1,000 orang menjelang Disember depan.

“Jika ini tercapai, secara automatik kami boleh mendapatkan dana dan seterusnya melayakkan ahli membuat pinjaman dan pada masa sama, kebajikan ahli terbela,” katanya.

Mengulas perancangan Kopstar, Alfaa berkata, koperasi itu akan memperkenalkan Sanggar Seni Kopstar yang akan menyediakan lima kursus seperti kelas menghafaz al-Quran, gitar, bes, rakaman dan vokal yang turut dibuka kepada orang ramai.

“Pada masa sama, kami sedang merangka pembukaan Dapur Sang Sedap yang menjual makanan atas talian, akhir tahun ini. Semuanya dilakukan demi menjana pendapatan koperasi,” katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai projek Dapur Sang Sedap, Alfaa berkata, pada mulanya, pihak merancang mengusahakan kafe.

“Namun, melihat kepada situasi negara, projek terpaksa dipertimbangkan semula. Akhirnya, Kopstar memilih jualan atas talian bagi menjimatkan kos.

“Kami akan menyewa sebuah premis kecil di Bangsar sebagai pusat penyediaan makanan. Matlamat utama kami adalah untuk membantu ahli seperti koperasi lain,” katanya.

Kopstar pernah diterajui penulis lirik terkenal, Datuk Habsah Hassan dan Ad Samad.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *