MENYEBUT nama Senario, sudah tentunya mengembalikan ingatan kita kepada era pertengahan 1990-an sehingga awal 2000 yang menyaksikan kegemilangan kumpulan itu.

Populariti menggunung Azlee Jaafar, Wahid Mohamad, Lan Pet Pet, Ilya Buang, Saiful Apek, Yassin Yahya serta Allahyarham Hamdan menyaksikan rakaman sitkom Senario di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam sentiasa dipenuhi peminat.

Malah limpahan itu membuatkan pengurusan Ambang Klasik/TV3 memasang skrin di luar bagi memastikan penonton dapat menyaksikannya. Mereka sememangnya menjadi kesayangan rakyat.

Tiga dekad penubuhan dan selepas beberapa tahun menyepi, kumpulan legenda ini tampil dengan persembahan istimewa Konsert The Last Kopek: SenarioUnion 30 Tahun baru-baru ini.

Pentas Idea Live Arena, Petaling Jaya diserbu lebih 5,000 peminat yang merindui keletah lucu, selamba dan spontan kumpulan ini.

Melihat wajah peminat yang hadir, ia jelas seperti seusia Senario sendiri dan semestinya semasa membesar, mereka didendangkan dengan lagu Senario sebagai peneman setia.

Menariknya, tema yang ditetapkan penganjur, Dreamscape Events dan Kapla Entertainment iaitu baju hari raya menyaksikan 80 peratus penonton mematuhinya, sekali gus mewujudkan kemeriahan tersendiri.

Secara simboliknya selain datang untuk menonton, peminat yang hadir juga datang bersama harapan untuk mengimbas kenangan masa lalu.

Suasana bergemuruh apabila Senario muncul di atas pentas dengan lagu untuk segmen pertama iaitu Kerja diikuti Cinta Sate, Boria Miskin Kaya, Dikir Barat Siang Malam, Kerja Baik Kerja Jahat, Senario XX, Ceti dan Cepat Kaya.

PERSEMBAHAN 'tribute' khas untuk Hamdan.
PERSEMBAHAN ‘tribute’ khas untuk Hamdan.

Segmen kedua pula menampilkan lagu Lap Lip Lap, Hukum, Motor Kapchai, Cinta Berkarat dan Doa Untuk Ayah yang turut mengundang anak Allahyarham Hamdan iaitu Muhamad Syazreen Haqeem.

Emosi dan suasana sedih jelas terpancar di wajah anggota Senario dan turut sama dirasai oleh penonton.

Segmen ketiga menampilkan Senario dengan lagu hari raya iaitu Puasa Dan Raya, Bila Lagi Nak Jumpa dan Seminggu Berhari Raya.

Menerusi segmen ini, mereka mengundang penyanyi popular Aina Abdul untuk berduet menyanyikan lagu Joget Senda Gurau, Joget Toleh Menoleh dan Zapin Cinta SMS dan Zapin Usik Mengusik.

Tidak lengkap rasanya persembahan Senario tanpa lagu Aspalela, Sebelum Dan Sesudah serta lagu ikonik mereka Cari Tapak. Ia mengundang peminat berdiri untuk menyanyikannya sehingga konsert berakhir.

Senario sememangnya seniman rakyat. Fakta yang tidak boleh dinafikan ialah Senario beruntung kerana mendapat sentuhan komposer kreatif, Dr Azmeer Abu Bakar yang bertindak selaku komposer dan pencipta lagu mereka.

Senario yang ditemui menyifatkan konsert ini sebagai satu kejayaan yang amat memuaskan. Segala latihan yang dilakukan sebelum ini ternyata membuahkan hasil.

“Latihan yang kita buat sebelum ini berbaloi. ‘crowd’ (penonton) yang datang tu luar biasa. Itu yang bagi semangat kepada kami walaupun kami ni dah otai.

“Banyak benda yang jadi spontan. semuanya ‘in the moment’. ‘Energy’ penonton yang datang tu yang bagi tenaga kepada kami,” kata Azlee mewakili kumpulan itu.

Apek pula menyifatkan sekali pun jarang beraksi di pentas besar mereka tetap memberikan persembahan terbaik demi penonton.

“Takkan tak pancit tu bohonglah. tapi peminat dah beli tiket, jadi kami kena bagi yang terbaik.

“Kami harap silaturahim yang kami bina ni akan terus kukuh. kami tak nak jadi macam kumpulan lain yang berpecah,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *