Kuala Lumpur: Pelakon, Ikmal Amry, 32, memaklumkan menghubungi aktor Indonesia, Jefri Nichol menerusi mesej peribadi di platform Threads bagi menjernihkan keadaan susulan perbandingan dibuat segelintir peminat terhadap mereka.

Ikmal berkata, langkah itu diambil selepas timbul pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, termasuk komen berbaur negatif yang bukan sahaja membabitkan dirinya, malah turut menyentuh sensitiviti pelakon terbabit.

“Saya sudah berhubung dengan Jefri melalui mesej peribadi. Dia seorang yang santai dan boleh membaca komen itu dengan tenang kerana mungkin sudah biasa menerima kecaman.

“Jefri kata dia gembira membaca reaksi daripada netizen kita. Saya juga gembira membacanya, tetapi janganlah sampai menghina dirinya.

“Kami sekadar berkongsi pandangan. Kadang-kadang saya beritahu, ada orang cakap sesuatu tentang dirinya, itu sahaja.

“Saya juga ada mempertahankannya di media sosial dan dia ucapkan terima kasih,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Tarung: The Unforgiven, di sini, semalam.

Kata Ikmal, dia mengakui terkejut apabila banyak menerima mesej dan komen daripada peminat membandingkan dirinya dengan Jefri sebaik mula membuka akaun Threads, baru-baru ini.

Katanya, komen berbaur penghinaan seharusnya tidak berlaku kerana ia membabitkan sensitiviti antara dua negara.

“Saya juga baru menggunakan platform Threads. Apabila terlalu banyak mesej dan ‘tag’ diterima, sampai satu tahap saya membaca komen yang menghinanya, saya rasa perkara itu perlu dihentikan.

“Sebab isu itu membabitkan dua negara. Saya bimbang apa yang peminat katakan boleh menyinggung perasaan pihak di sana. Nanti nama kita juga terjejas,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu.

Pada masa sama, kata Ikmal, dia juga sudah mengeluarkan kenyataan di Threads, meminta peminat agar menghentikan sebarang perbandingan antara mereka tetapi tidak berjaya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *