Kuala Lumpur : Penyanyi Baggio kembali merancakkan industri muzik tempatan menerusi lagu single terbaharu berjudul Rindu, yang menampilkan kelainan dari segi susunan muzik serta lirik lebih dekat dengan kehidupan dan mudah difahami pendengar.

Menariknya, lirik lagu ini dihasilkan Baggio manakala komposisi muzik mendapat sentuhan Joe Slash serta Adi Proyo.

Baggio, 55, atau pemilik nama Bahagia Daharun memaklumkan Rindu membawa pendekatan berbeza berbanding karya terdahulu.

Baggio ketika ditemubual stesen radio
Baggio ketika ditemubual stesen radio

Menurut vokalis Damasutra itu, dari segi susunan muzik, single ini lebih segar dan membawakan ‘vibe’ dengan dimensi baharu kepada pendengar.

“Keunikan Rindu turut terserlah menerusi penerbitan muzik video yang dihasilkan sepenuhnya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), selaras dengan perkembangan trend semasa dalam industri kreatif,” katanya.

Baggio mengakui proses berkenaan bukan sesuatu yang mudah, namun dia melihat pendekatan berkenaan sebagai langkah berani untuk bereksperimen dan membawa pembaharuan dalam karya visual muziknya.

Kali terakhir Baggio tampil dengan single adalah pada 2023 menerusi lagu Kau Ibu, sebuah karya istimewa yang didedikasikan buat golongan ibu.

Bagi Baggio, penghasilan Rindu bukan sekadar tanda dirinya masih aktif, malah bukti komitmen untuk terus relevan dalam industri seni tanah air.

“Secara peribadi, saya berpandangan setiap artis perlu terus menghasilkan karya baharu kerana ia turut memberi kesan kepada rantaian industri muzik termasuk penulis lirik, pemuzik, pencipta lagu dan tenaga produksi lain,” ujarnya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *