Los Angeles: Anak sulung pasangan popular David dan Victoria Beckham iaitu Brooklyn Beckham tidak akan berdamai dengan kedua ibu bapanya itu susulan ketegangan tercetus antara mereka sejak bertahun lamanya.

Brooklyn, 27, akhirnya bersuara dan mendakwa diserang bertubi-tubi oleh ibu bapanya tanpa henti dengan membuat pelbagai pembohongan kepada media mengenainya serta isterinya, Nicola Peltz.

Dia sudah berusaha diamkan hal terbabit termasuk perihal kononnya dia dikongkong isterinya. Padahal, katanya David dan Victoria yang mengongkong kehidupannya sekian lama serta hidup dalam kepura-puraan.

“Saya sudah berdiam selama bertahun-tahun dan berusaha simpan rapi hal peribadi ini. Malangnya, ibu bapa saya dan pasukannya berterusan pergi kepada media membuatkan saya tiada pilihan selain bersuara untuk diri sendiri serta beritahu kebenaran pasal beberapa pembohongan yang dilaporkan.

“Saya tidak mahu berdamai dengan keluarga saya. Saya tidak dikongkong, saya pertahankan diri-sendiri untuk pertama kali dalam hidup. Sepanjang hidup, ibu bapa saya mengawal naratif di media mengenai keluarga kami.

“Penyampaian hantaran media sosial, acara keluarga, talian penuh pura-pura menjadi ketetapan dalam hidup sejak saya dilahirkan. Terbaru, saya melihat sendiri sejauh mana mereka sanggup buat apa saja untuk berbohong kepada media,” katanya.

Brooklyn mendedahkan David dan Victoria berusaha menghancurkan hubungannya dengan Nicola sejak sebelum mereka berkahwin. Dia turut pernah disuruh tanda tangan perjanjian yang dia tidak persetujui.

Bahkan, dia juga terkilan apabila majlis perkahwinannya juga dicemarkan dengan insiden-insiden yang sangat memalukan. Kemudian disusuli dengan tindakan licik ibu bapanya ‘menyerang’ dia menerusi media.

“Malam sebelum perkahwinan, ahli keluarga saya cakap Nicola bukan ‘darah daging’ dan ‘bukan keluarga’. Ibu saya ‘merampas’ tarian pertama saya bersama isteri yang sudah dirancang berminggu-minggu.

“Depan 500 tetamu, Marc Anthony jemput saya atas pentas yang patut dijadualkan untuk tarian romantik saya bersama isteri. Sebaliknya, ibu yang menunggu untuk menari. Dia menari tidak senonoh depan semua.

“Saya tidak pernah rasa sangat tidak selesa dan diaibkan sepanjang hidup saya. Kami mahu cipta kenangan baharu pada perkahwinan kami itu untuk bawa kegembiraan dan kebahagiaan, bukan keresahan dan dimalukan,” katanya.

Sejak dia mula pertahan diri daripada keluarga, Brooklyn akui terima serangan bertubi daripada ibu bapa, baik secara dalaman mahupun di khalayak, yang dihantar kepada media atas arahan mereka.

Malah, adik-beradik lelakinya iaitu Cruz dan Romeo disuruh menyerangnya di media sosial sebelum mereka menyekat dia sepenuhnya secara tiba-tiba pada musim panas lalu.

Dia turut mendedahkan Victoria cuba membawa kembali kekasih lamanya dalam hidup mereka sebagai percubaan untuk merosakkan hubungannya dengan Nicola sehingga tercetus rasa tidak selesa.

Lebih menyedihkan, David pula didakwa menolak hasratnya untuk menyambut hari jadi bapanya itu di London. David hanya bersetuju sekiranya mereka menyambutnya tanpa kehadiran Nicola.

“Dia menolak segala percubaan kami, melainkan sambutan hari jadi itu sebuah parti besar-besaran dengan kehadiran ratusan jemputan serta lensa kamera memenuhi setiap sudut.

“Apabila dia akhirnya bersetuju, syaratnya mestilah Nicola tidak dijemput. Ia sebuah tamparan buat saya. Kemudian, apabila mereka (keluarga) berkunjung ke LA (Los Angeles), mereka enggan sama sekali berjumpa saya,” katanya.

Ketegangan antara Brooklyn dan seluruh keluarganya sudah bermula sejak perkahwinannya dengan Nicola pada April 2022. Namun ia menjadi lebih parah pada hujung tahun lalu.

Brooklyn juga tidak menjemput keluarganya pada majlis perbaharui ikrar perkahwinan mereka di New York pada Ogos tahun lalu.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *