Gempak melihat keadaan Panggung Anniversari baru-baru ini apabila dua generasi peminat berkumpul untuk menyaksikan Konsert Nostalgia Hits Di Sini Kenangan Bergema Semula.
Konsert pembuka tirai kepada pengisian seni sepanjang tahun 2026 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini menampilkan bekas peserta Gegar Vaganza (GV) musim ke-7, Daninas Huza Daud atau lebih dikenali sebagai Oja, selain penampilan Syafiq Farhain dan Kumpulan Cherpen, dengan iringan Kombo Budaya serta Artis Budaya Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ia juga menjadi konsert pertama buat Datuk Bandar yang baharu dilantik iaitu Datuk Fadlun Mak Ujud yang turun padang bagi merasmikan program ini.
Turut hadir, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez.
Walaupun hujan lebat pada sebelah petang, ramuan DBKL yang menyuntik elemen nostalgia menerusi persembahan Syafiq Farhain serta muzik terkini untuk golongan remaja menerusi kumpulan Cherpen dalam konsert ini, berjaya menarik kehadiran ramai peminat.
Datuk Bandar berkata, Konsert Nostalgia Hits Di Sini Kenangan Bergema Semula adalah permulaan untuk DBKL bergerak lebih ke hadapan lagi untuk tahun 2026.
“Ini adalah pembukaan untuk kita kembalikan semula nostalgia Panggung Anniversari. Bermula sekarang hingga penghujung 2026, kita merancang lebih daripada 40 acara membabitkan konsert sebegini.
“Hampir setiap minggu akan ada konsert. Jadi kita mengembalikan semula nostalgia dan juga kegemilangan Panggung Anniversari.
“Di samping Panggung Anniversari, kita ada lagi sembilan lokasi yang juga kita akan menyediakan aktiviti-aktiviti antaranya di Dataran Pahlawan, di Kampung Attap, Jalan Tuanku
Abdul Rahman, di ROL (River of Life), Dataran Merdeka, dan lain-lain,” katanya.



Menurutnya, program-program ini diadakan bersempena dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Semasa kita laksanakan aktiviti sebegini, kita juga akan selitkan nilai-nilai murni untuk masyarakat Madani kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Tidak dinafikan Panggung Anniversari sememangnya dekat di hati peminat terutamanya generasi era 80-an dan menjadi antara pentas seni paling ikonik serta bersejarah di Kuala Lumpur.
Ia adalah saksi kepada perjalanan dan evolusi seni tanah air dari muzik, teater, puisi, tarian tradisional serta persembahan moden dan eksperimental yang menyatukan pelbagai generasi penggiat seni.
DBKL kini mengambil langkah menghidupkan kembali pentas terbabit apabila memperkenalkan Semarak Seni @ Panggung Anniversari anjuran Jabatan Kebudayaan, Kesenian,
Pelancongan dan Sukan (CATS), dengan sokongan kewangan daripada Kementerian Kewangan Malaysia.
Antara program teras yang akan dilaksanakan sepanjang tahun termasuk Konsert Rock Gegar Panggung, Retro Bangkit!, ROCKESTRA, Rasa Rakyat dan Pentas Seni LIVE!,
Turut ditampilkan ialah Pesta Teater Kuala Lumpur, Konsert Puisi Jundai Nusantara, Zapin Rewang, Independent Vibes, Rentak Legasi, Jazz in the Park, serta Pertandingan Bintang Bandaraya.
DBKL juga mengalu-alukan kerjasama agensi kerajaan dan swasta, institusi pendidikan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat serta komuniti seni untuk bersama-sama menjayakan program yang dirancang sepanjang tahun depan.
Mereka juga menggalakkan syarikat produksi dan pengurusan acara untuk menganjurkan persembahan dan program seni di Panggung Anniversari sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem seni dan budaya bandar raya.