WALAUPUN Konsert Malam 3 Suara sudah melabuhkan tirainya pada Ahad lalu, kehangatannya masih dapat dirasakan sehingga hari ini.

Tiga bintang Indonesia iaitu Rizky Febian, Fabio Asher dan Anggi Marito menjadikan pentas Idea Live Arena, Petaling Jaya sebagai pentas sulung buat mereka tampil bertiga.

Saat segmen overture mashup memanaskan pentas dengan medley lagu Hingga Tua Bersama, Bertahan Terluka dan Cara Mencintaimu, peminat mula menunjukkan tenaga positif serta semangat mereka.

Kehadiran Fabio sebagai pembuka di pentas kira-kira jam 8.30 mula mendapat sorakan peminat yang turut sama-sama menyanyi lagu Bertahan Terluka.

Pentas seterusnya dihangatkan dengan kemunculan Anggi Marito yang mempersembahkan lagu Cara Mencintaimu sekali gus mempamerkan kematangan vokalnya.

Detik pertama muzik permulaan Hingga Tua Bersama dendangan Rizky dimainkan, dapat dilihat mata peminat-peminatnya tidak berkelip menantikan kemunculannya.

Rizky sebagai ‘senior’ antara mereka bertiga menyampaikan ucapan terima kasih atas peluang yang diberikan.

“Ini kali pertama kami tampil bertiga di pentas konsert. Terima kasih kepada penganjur yang sudi memberi kepercayaan kepada kami,” katanya.

Pentas seterusnya dihangatkan dengan lagu-lagu popular mereka yang disampaikan secara solo, duet dan bertiga.

Babak menarik perhatian adalah ketika mereka bertukar lagu di mana Anggi menyampaikan lagu Mahir Memberi Luka nyanyian asal Fabio, manakala Fabio pula menyampaikan Cuek (Rizky) dan Rizky menyampaikan lagu Selama Ku Bernafas (Anggi).

Masing-masing memberikan nafas baharu dan meniupkan identiti nyanyian tersendiri di dalam lagu saduran yang disampaikan. Secara tidak langsung, peminat dapat mendengar versi berbeza untuk lagu kegemaran mereka.

Deretan 23 lagu termasuk medley tidak dirasakan kerana berlaku dengan pantas dan sejujurnya rata-rata meluahkan rasa kurang puas dengan durasi tiga jam pementasan.

Bagaimanapun, gandingan ketiga-tiga mereka benar-benar kompak dan menyatu. Mungkin kerana masing-masing sudah mengenali rapat satu sama lain dan berkongsi jiwa seni sama.

Malah, gandingan ketiga-tiga bintang dari tanah seberang ini berjaya menyatukan pelbagai generasi peminat.

Bagi peminat yang lebih dewasa, lagu yang membawa nama Rizky ke dalam industri iaitu Kesempurnaan Cinta mungkin tidak lagi asing. Lebih manis, ia diberikan nafas segar yang baharu dan dipersembahkan pada malam itu.

Bagi peminat generasi baharu pula, tentunya lagu-lagu Fabio dan Anggi menjadi siulan mereka.

Ditambah pula, kedua-dua bintang muda ini pernah bergandingan dengan penyanyi Malaysia seperti Aina Abdul (Cinta Tak Pernah Tepat Waktu bersama Fabio) dan Ernie Zakri (Kisah Penuh Kecewa bersama Anggi).

Tentunya, peminat masih dahaga persembahan ketiga-tiga mereka dan berharap agar bakal ada kemunculan di pentas lain.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *