Kuala Lumpur: “Suami harap anak ketiga ini perempuan kerana kami sudah ada dua anak lelaki,” kata pengacara dan pelakon Uyaina Arshad, 33, ketika ditanya jantina bayi anak ketiga yang bakal dilahirkan nanti.
Uyaina atau nama sebenarnya, Saidatul Naseha Uyaina Arshad berkata, dia juga sudahpun membuat pemeriksaan jantina bayi dalam kandungannya yang kini sudah mencecah lima bulan.
“Sebenarnya, doktor sudah beri ‘folder’ (fail) yang beritahu keputusan jantina bayi tapi sampai sekarang saya lebih selesa untuk tidak mahu mengetahui keputusan itu lagi.
“Jika nak diikutkan suami memang mahukan anak ketiga kami perempuan tapi saya pula tak nak berharap kerana apa yang Allah SWT kurniakan kita akan terima nanti.
“Ramai juga kawan-kawan yang bertanya macam mana saya boleh bersabar untuk tidak mengetahui jantina anak kami sampai sekarang? Mungkin bila tarikh bersalin dah dekat menjelang Februari depan, baru saya tengok keputusan jantina anak kami itu,” katanya kepada Harian Metro.
Mengenai kandungan lagi, kata Uyaina, keadaan kesihatannya bersama bayi berada dalam keadaan baik.
“Saya memang seorang yang aktif dari kehamilan pertama dan kedua tapi anak ketiga ini saya berasa cepat penat dan kadang-kadang dalam sehari itu tidak mahu buat apa-apa pun.
“Saya juga lebih suka memasak air tangan sendiri di rumah ketika hamil kali ini berbanding dari makan di luar dan paling suka sajian makanan kampung,” kata bekas pengacara program bual bicara Wanita Hari Ini (WHI) ini.
Ditanya tawaran berlakon pula, kata Uyaina, dia terpaksa menolak lima tawaran projek filem kerana mahu memberi fokus pada kehamilan ketiganya itu.
“Saya dapat tawaran buat tiga projek filem genre berbeza termasuk seram dan sepatutnya penggambaran pada Jun lalu tapi saya terpaksa tolak kerana masa itu dapat tahu diri hamil kira-kira dua bulan ketika itu.
“Selepas saya tolak tiga projek itu, ada dua lagi tawaran filem yang datang tetapi terpaksa juga menolaknya.
“Buat masa ini, saya terpaksa tolak dahulu tawaran berlakon kerana tak sesuai dengan keadaan perut yang besar tapi kalau watak wanita hamil mungkin boleh dipertimbangkan,” katanya.
Uyaina berkahwin dengan pelakon Raja Shahiran pada 21 Disember 2021. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Raja Urhan, 3 dan Raja Urayyan, 1.