Lebih dua dekad menempa nama dalam dunia nasyid tanah air, kumpulan Inteam membuktikan mereka masih relevan dan terus dekat di hati peminat apabila berjaya menarik kehadiran 5,000 penonton menyaksikan Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun di Idea Live Arena, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Konsert istimewa ini bukan sekadar sebuah persembahan ulang tahun, sebaliknya menjadi malam penuh makna yang menyatukan cinta, kasih sayang dan kenangan indah antara Inteam dan peminat setia sejak 1998.

Seawal pintu dewan dibuka, ribuan peminat membanjiri ruang acara dengan wajah teruja di mana penonton disajikan gabungan pencahayaan serta teknologi AI yang mengisi layar visual pada babak pertama.

Sorakan bergema sebaik pengacara, Faizal Ismail dan Nana Mahzan menjemput empat ahli kumpulan Inteam iaitu Hisyam, Hazamin, Syah dan Rahim muncul di pentas.

PERSEMBAH lagu dekat di hati peminat.
PERSEMBAH lagu dekat di hati peminat.

Mereka membuka tirai dengan lagu popular Nurkasih, disusuli Siti Khadijah dan Akrab Persahabatan yang membawa penonton kembali ke era kegemilangan nasyid moden awal 2000-an.

“Terima kasih kepada semua yang hadir. Anda bukan sekadar penonton, anda keluarga besar Inteam. Tanpa sokongan anda selama 25 tahun, kami tidak mungkin berdiri di pentas ini,” kata Hazamin.

Tema cinta dan kasih sayang jelas terasa sepanjang hampir tiga jam konsert berlangsung. Setiap bait lirik dan susunan persembahan dipilih rapi bagi membawa penonton melalui perjalanan seni Inteam yang panjang, matang dan penuh jiwa.

Sorakan semakin gamat apabila segmen medley pertama menampilkan rangkaian lagu malar segar seperti SentuhanMu, Doa Seorang Kekasih dan Hembusan Kasturi.

Lagu-lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi sarat mesej ketuhanan dan kasih sayang yang menyentuh perasaan ramai.

Kemunculan Khai Bahar sebagai penyanyi undangan turut menghangatkan suasana apabila dia tampil berduet dalam lagu Impian Kasih dan Rabiatul Adawiyah.

Kolaborasi ini menjadi antara detik paling mendapat sorakan penonton malam itu, sekali gus membuktikan genre nasyid mampu menjalin silaturrahim merentas generasi.

Tidak ketinggalan, segmen khas menampilkan lagu Wanita, Ratu Syahadah serta medley kedua yang menggabungkan KeredhaanMu, Damba Kasih dan Tanpamu dengan penampilan Yusuf, Husaini, Zakiy dan Mateen, menyuntik warna baharu kepada persembahan.

Malam penuh emosi turut menyaksikan Inteam mempersembahkan lagu dekat di hati peminat seperti PemergianMu, Taybah dan Kias Cinta yang dinyanyikan bersama anak Allahyarham Suhaimi Saad, Sallman Elkhoyri.

SAMPAIKAN rangkaian lagu popular.
SAMPAIKAN rangkaian lagu popular.

Segmen selawat bersama penonton juga antara kemuncak berharga malam itu.

Ribuan suara bergema menyambut selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW dalam suasana penuh syahdu, membuktikan konsert nasyid bukan sekadar hiburan, tetapi juga wadah dakwah yang menyentuh jiwa.

Turut hadir memberi sokongan ialah mentor dan pembimbing awal Inteam iaitu kumpulan Hijjaz, serta komposer Ito Lara yang banyak menyumbang kepada pembangunan muzik nasyid tanah air.

Kehadiran mereka ternyata menyerikan lagi malam penuh nostalgia dan kekeluargaan itu.

 TERIMA sambutan gemuruh penonton.
TERIMA sambutan gemuruh penonton.

Konsert ditutup menerusi rangkaian lagu popular seperti Setanggi Syurga, Kasih Kekasih, Ya Rabbi Ya, Surat Cinta, Segenggam Tabah, medley Selamatkan Dunia dan Selimut Kasih, sebelum paduan suara ribuan penonton mengakhiri malam dengan lagu Kasih Kekasih.

Sebagai kemuncak kejutan malam itu, Inteam turut mengumumkan bahawa mereka bakal menganjurkan konsert berskala besar di Axiata Arena Bukit Jalil pada 1 Februari 2026.

Pengumuman itu disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton yang jelas teruja menantikan detik bersejarah itu.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *