Shah Alam : Anak kepada penyanyi, Datuk Nora Ariffin, Mohd Syakir Iman Johan, 32, mengakui mempunyai hubungan baik dengan bapa tirinya, Dr Rushdi Ramli, dan anak sulung, Dr Mohd Shakir Rushdi.
Iman berkata, kedua-dua mereka memikul tanggungjawab sebagai anak sulung kerana isu rumah tangga ibu bapa mereka sudah sampai ke tahap ini.
“Saya mengenali beberapa orang anak Dr Rushdi, terutama anak lelakinya. Kami tidak mempunyai masalah. Bagi saya sebagai anak sulung, ini adalah hal antara ibu bapa, jadi tidak perlu masuk campur.
“Namun kerana sudah sampai ke tahap ini, kami terpaksa memikul tanggungjawab. Kami mahu mendapatkan penyelesaian terbaik yang tidak membebankan kedua-dua pihak.
“Hubungan saya dengan Dr Rushdi juga baik. Secara umumnya, hubungan keluarga kami dengan Dr Rushdi tiada masalah. Cuma ada gangguan pihak ketiga yang sedikit menggoyahkan keadaan,” katanya.
Menurut Syakir, dia sentiasa mahu melihat ibunya bahagia. Namun, sekiranya jodoh tidak berpihak kepada mereka, semuanya diserahkan kepada takdir.
“Jodoh itu di tangan Tuhan. Saya yakin tiada perkahwinan yang hanya aman semata-mata, pasti ada pergolakan. Sebagai manusia, kita berusaha mencari yang terbaik.
“Namun, jika tiada jodoh, apalah daya kita. Kalau pun dipaksa untuk bersama tetapi asyik bergaduh, itu juga tidak baik. Kalau boleh, kita mahukan perkahwinan yang aman.
“Namun, apabila sudah sampai ke tahap ekstrim dengan adanya campur tangan pihak luar, itu yang cuba kita elakkan. Boleh dikatakan keadaan menjadi toksik dan itu yang kita tidak mahu,” katanya.
Menurut Syakir, dia juga melihat hubungan ibunya dengan Rushdi baik-baik saja sebelum wujudnya campur tangan luar.
“Saya hanya mahu melihat ibu saya bahagia. Saya lihat hubungan ibu saya dengan Dr Rushdi baik-baik saja. Namun, apabila wujud campur tangan luar serta pelbagai bentuk gangguan, itu yang akhirnya menjejaskan keharmonian rumah tangga dan memberi kesan kepada keluarga juga.
“Bertahun-tahun kami berusaha untuk berdamai dengan keluarga mereka. Saya sendiri pernah cuba berbaik dengan anak-anak dan isteri pertama Dr Rushdi.
“Secara peribadi, saya tiada masalah kerana ini adalah isu rumah tangga antara Dr Rushdi dan Datuk Nora. Tidak ada kena-mengena dengan keluarga.
“Cuma apabila ada ahli keluarga yang masuk campur, itulah yang merosakkan rumah tangga itu,” katanya.
Mahkamah Rendah Syariah Petaling hari ini menetapkan tarikh 30 September untuk hakam keluarga Muhammad Syakir Iman Johan yang mewakili Nora dan Dr Mohd Shakir Rushdi yang mewakili Rushdi untuk membentangkan laporan perbincangan.