Aura dan kehebatan bintang Indonesia, Datuk Seri Rossa pada persembahan di dua negara serumpun cukup luar biasa.
Sama ada persembahan di Jakarta mahupun di Kuala Lumpur yang berakhir baru-baru ini ia meninggalkan memori cukup indah buat peminat.
Rossa, 47, membuktikan dia masih berbisa apabila berjaya menarik lebih 10,000 peminat ke Konsert Here I Am di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun lalu.
Konsert itu berlangsung hanya beberapa minggu selepas Rossa mencipta sejarah sebagai penyanyi solo wanita pertama Indonesia yang mengadakan konsert berskala besar di Indonesia Arena, Jakarta dengan kehadiran lebih 12,000 penonton dan tiket ‘sold out’.
Rossa menyajikan persembahan bertenaga, menyentuh emosi dan bertaraf antarabangsa yang terus mengukuhkan statusnya sebagai Diva No.1 Nusantara selepas lebih 30 tahun dalam industri.
Konsert terbabit turut dihadiri ramai tetamu kenamaan, selebriti terkenal serta sahabat dekat dari kedua-dua negara.
Detik paling mencuri tumpuan ketika persembahan di Axiata Arena apabila Rossa menyanyikan lagu Percayalah yang dipopularkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti
Nurhaliza yang turut menyanyikan lagu berkenaan secara spontan hingga mencetuskan sorakan gemuruh penonton.
Mereka yang hadir teruja menyaksikan dua ikon wanita bergandingan dalam suasana penuh kasih dan kekaguman.
“Ramai sahabat-sahabat saya yang ada di sini, termasuk Biduanita Negara, Siti Nurhaliza. Siti, sepertinya kamu sudah siap untuk naik ke atas pentas,” kata Rossa penuh terharu.
Tiket konsert bermula RM288 hingga RM5,000 tetap mendapat sambutan hangat, manakala barisan bintang undangan terkenal seperti Ariel, Ernie Zakri, MK K-Clique, Dipha Barus, Hael Husaini dan Eka Gustiwana turut memeriahkan pentas.
Penyanyi tersohor dari seberang itu membawakan lebih 30 lagu hit sepanjang kariernya termasuk persembahan penuh emosi, segar dan disusun dengan naratif perjalanan seni yang menyentuh hati.
Turut mencuri perhatian ialah dua kumpulan vokal bimbingan Rossa, The Ladies dari Indonesian Idol dan finalis One In A Million dari Malaysia yang diberi ruang berkongsi pentas bersama mentornya.



Rossa juga mempersembahkan dua karya terbaharu, Serasa X Juwita bersama Dipha Barus dan Sinaran dengan MK K-Clique yang bakal dimuatkan dalam album mini Asmara Dansa, membuktikan dia terus aktif dan tidak pernah surut menghasilkan lagu baharu.
Konsert itu direalisasikan hasil kerjasama padu antara Inspire Production, Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Sah Entertainment, membabitkan lebih 180 tenaga produksi profesional dari Jakarta termasuk pemuzik, penari, artis jemputan serta pasukan teknikal berpengalaman luas dalam penganjuran acara berskala mega.
Selain sokongan dari Indonesia, konsert ini turut digerakkan bersama penggiat seni tempatan termasuk pemuzik orkestra, penari serta pasukan produksi Malaysia yang bergabung tenaga dalam semangat serantau yang penuh harmoni dan kebersamaan.
Menurut Rossa lagi, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya menjadi cerminan perjalanan hidup dan karier lebih tiga dekad yang penuh warna, cabaran serta detik bermakna dalam peranannya sebagai artis, ibu dan wanita yang mencintai seni.
“Judul Here I Am menggambarkan diri saya secara peribadi dan juga sebagai seniman. Saya mahu pendengar lagu saya belajar menerima diri, menghargai kelebihan masing-masing dan menyayangi siapa diri kita sebenarnya.
“Ia menjadi simbol perjalanan karier saya yang penuh pencapaian, album, lagu hits serta detik tak terlupakan,” katanya.
Rossa meluahkan rasa terharu dapat kembali ke sini selepas 15 tahun, menyifatkan persembahan itu sebagai lambang kasih dan penghargaan buat peminat di Indonesia, Malaysia dan seluruh Asia Tenggara yang setia bersamanya sepanjang perjalanan seni.
Pelantun lagu Atas Nama Cinta itu tampil memukau dalam 11 persalinan eksklusif rekaan pereka terkenal Indonesia dan Malaysia, menyerlahkan aura glamor dan keanggunan sepanjang persembahan.
Berbeza dari penampilannya di Jakarta, dua busana baharu jadi tumpuan adalah gaun putih ciptaan Adeline Ester dan gaun kristal Swarovski hasil rekaan Khoon Hooi.
Ternyata, malam itu bukan sekadar konsert, tetapi lambang keberanian, dedikasi dan cinta mendalam seorang diva sejati kepada penyokong yang tidak pernah berhenti memberi semangat, sekali gus membuktikan aura Rossa kekal unggul dan akan terus bersinar dalam sejarah muzik serantau.