Kuala Lumpur: Penyanyi dan penyampai radio, Mawi, 44, enggan mengulas lanjut mengenai status terkini penganjuran Konsert Tsumawi Live In Kuala Lumpur yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada Januari lalu namun ditunda kepada Julai.
Menurut Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, dia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak penganjur, Showtag Asia, untuk memberikan sebarang kenyataan rasmi berkaitan status penganjuran konsert berkenaan.
“Saya tak boleh nak cakap apa-apa mengenai konsert itu, pihak penganjur yang perlu bagi kenyataan. Saya tak tahu, kena tanya penganjur.
“Kalau ikut pada awalnya ianya ditunda ke Julai namun buat masa sekarang tiada apa-apa berita. Saya tak berani nak cakap apa-apa,” katanya ketika ditemui di acara Game Changers di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.
Pelantun lagu Kalah Dalam Menang itu turut tidak ambil hati sekiranya terdapat spekulasi yang mendakwa penundaan konsert itu berpunca daripada jualan tiket yang kurang memberangsangkan.
“Bagi saya tidak mengapa sebab kita merancang dan bukan semua apa yang kita rancang akan jadi sempurna.
“Ini adalah perkara biasa, dalam hidup kita kalau kita rancang tak jadi nak buat macam mana. Kalau jadi, Alhamdulillah. Kalau tak, saya reda dan terima sahaja,” katanya kepada Harian Metro.
Sebaliknya, Juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu memilih untuk menerima segala ketentuan dengan hati terbuka berhubung konsert berkenaan sempena dua dekad pembabitannya dalam industri seni.
“Saya tidak bersedih dan kita ikut sahaja takdir ini, saya tiada masalah dengan pihak penganjur. Kali terakhir beberapa bulan lepas saya bercakap dengan mereka, saya terima sahaja takdir ini. Saya tak kisah apa orang nak cakap, terpulang kepada mereka,” katanya.
Terdahulu, penganjur terbabit mengumumkan Konsert Tsumawi Live In Kuala Lumpur yang dijadualkan pada 25 Januari ditunda ke Julai sebagai tanda hormat kepada mangsa banjir di beberapa negeri.
Konsert itu bakal menampilkan lebih 20 lagu termasuk lagu-lagu yang melonjakkan nama penyanyi yang juga pelakon Magika ketika menyertai AF3.