Kuala Lumpur : Bintang pop dunia, Katy Perry berdepan detik cemas apabila seorang peminat secara tiba-tiba melompat ke atas pentas dan memeluknya ketika sedang membuat persembahan di Sydney, Australia, baru-baru ini.

Insiden mengejutkan itu berlaku ketika Perry, 40, sedang menyampaikan lagu popularnya, Hot N Cold, dalam konsert kedua siri Lifetimes Tour di bandar raya itu.

Menerusi video yang tular di platform X, penyanyi kelahiran Amerika Syarikat itu dilihat tergamam apabila peminat lelaki berkenaan memanjat pentas sebelum meletakkan lengannya di bahu Perry.

Bagaimanapun, Perry segera menjauhkan diri daripada lelaki terbabit sebelum meneruskan nyanyian secara profesional walaupun dalam keadaan kelam-kabut.

Lelaki itu kemudiannya dilihat melompat-lompat sambil menari tarian popular permainan video Fortnite, sebelum dua anggota keselamatan tampil dan cuba menahannya.

Usaha mereka bagaimanapun tidak mudah apabila peminat itu kelihatan cuba melepaskan diri dan enggan bekerjasama, memaksa lebih ramai petugas keselamatan tampil untuk mengiringinya turun dari pentas.

Mengulas ringkas insiden berkenaan, Perry berseloroh kepada penonton.

“Takkan ada lagi persembahan seperti ini. Jadi, nikmatilah, Sydney,” katanya.

Konsert kemudian diteruskan seperti biasa dengan Perry menyanyikan lagu-lagu popularnya termasuk Firework, Teenage Dream dan Roar.

Siri jelajah Lifetimes Tour Perry di Australia bermula pada 4 Jun lalu dan dijadualkan berlangsung di beberapa lokasi utama di negara itu.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *