Penyanyi meningkat naik, Farez Adnan, 29, mendedahkan, dia terpaksa menunggu selama lapan tahun untuk memujuk penyanyi ‘senior’ Mas Idayu berduet dengannya menerusi single terbaru berjudul Air Titik Ke Batu itu.
Farez atau nama sebenarnya Muhd Fareezuan Adnan berkata, meskipun pernah menjadi anak didik Mas Idayu yang dipanggil ‘mummy’ itu, dia tidak berani menyuarakan hasrat untuk berduet dengan penyanyi dangdut popular itu pada peringkat awalnya.
“Sebenarnya, saya sudah kenal ‘mummy’ ketika menjadi anak didiknya dalam program D’Academy Asia. Saya menjadi salah seorang peserta dan ‘mummy’ pula menjadi juri program berkenaan.
“Saya juga sudah lama menyimpan impian untuk berduet dengan ‘mummy’ yang juga sifu dan idola dalam bidang nyanyian.
“Tapi saya tidak berani kerana menyedari diri sebagai artis baru. Malah, saya juga tidak pernah buat persembahan dengan Mas Idayu di pentas sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single duet bersama Mas Idayu, Air Titik Ke Batu yang berlangsung di Rusa Cafe di Puchong baru-baru ini.
Bagaimanapun, kata Farez, dia tidak pernah berputus asa untuk meyakinkan Mas Idayu dan pihak pengurusan Rusa Music untuk merealisasikan impian berduet dengan idolanya itu.
“Saya sedar bukan mudah untuk memujuk dan meyakinkan ‘mummy’ untuk berduet dalam lagu, tapi saya tidak pernah jemu memujuknya.
“Alhamdulillah, bila saya cadangkan kepada pihak Rusa Music mereka juga sangat teruja dan ‘mummy’ juga akhirnya bersetuju selepas lagu duet ini siap sepenuhnya selepas beberapa kali saya dan pencipta lagu Cikgu Kaber menukar lirik,” kata bekas peserta program realiti, Akademi Fantasia musim ke-11 itu.
Berkongsi mengenai single itu, kata Farez, dia menghasilkan lagu berkaitan kisah hidup Mas Idayu termasuk fasa perceraian dilaluinya itu selepas mendapat kebenaran dari penyanyi berkenaan.
“Saya sentiasa ada di sisinya sama ada ketika susah ataupun senang. Saya tahu apa yang terjadi dan semua lirik dalam lagu ini adalah berdasarkan apa yang saya lihat sendiri.
“Mummy’ mungkin nampak garang di luar tapi saya tahu dia seorang yang sangat penyayang. Apa yang saya tulis dalam lagu ini datang dari hati, sebab saya sayang dia seperti ibu sendiri, ” katanya.
Bagaimanapun, kata Farez, lagu itu bukan sahaja berkisarkan kisah hidup Mas Idayu semata-mata sebaliknya boleh dikaitkan dengan kisah hidupnya sendiri.
Namun, katanya, fokus utama lagu itu tetap kepada cerita dan pengalaman Mas Idayu sebagai orang yang sangat rapat dengannya.
“Lagu ini juga ada kaitan dengan kisah hidup saya sendiri tapi saya mahu fokus kisah hidup ‘mummy’ dalam single ini.
“Bukan niat saya untuk mengaibkan sesiapa, tetapi ia adalah realiti kehidupan yang saya sendiri saksikan depan mata.
“Walaupun lagu ini kisah sedih tapi saya tetap masukkan elemen muzik yang ceria supaya ‘mummy’ tetap gembira mendengarnya,” katanya.
Mengulas dakwaan Single Air Titik Ke Batu ada persamaan dengan lagu dangdut popular dari negara seberang pula, Farez menafikannya.
Kata Farez, lirik dan gubahan lagu itu sangat berbeza cuma mungkin ada persamaan dari segi perkataan yang digunakan dalam liriknya.
“Ia tidak sama dan berbeza. Cuma mungkin ada perkataan yang sama seperti batu. Takkan kita tak boleh guna perkataan seperti batu dalam lirik lagu ini,” katanya yang turut dipersetujui Mas Idayu.