Kuala Lumpur: Slot pagi Kool 101 yang menampilkan pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil bersama Haiza semalam mengundang air mata dikalangan pendengar.

Ia kerana Pak Nil mahu memberikan wang RM50 sebagai belanja kepada mereka yang memerlukan.

Seorang pemanggil wanita bernama Nurul segera membuat panggilan dan berjaya menembusi talian.

Menerusi perbualan dengan Pak Nil dan Haiza, wanita terbabit menceritakan kesukaran hidup yang dilaluinya sekarang.

Menurutnya, dia mempunyai komitmen tinggi untuk membantu ibu bapanya yang baru sahaja menjalani pembedahan akibat penyakit kronik.

“Kronik itu masalah usus yang telah menjalani bedah pada minggu lepas. Dalam masa yang sama, saya memerlukan belanja untuk keperluan harian, belanja perubatan.

“Dalam masa yang sama, saya memerlukan kewangan sebab anak saya ada sekolah. Untuk empat orang anak, suami bekerja kilang saja,” katanya dalam tangisan.

Pak Nil kemudian bertanyakan kepada Nurul sekiranya pernah mengikat perut (menahan lapar) dan Nurul mengakuinya.

“Ya, pernah, Pak Nil. Saya berpuasa, niat puasa. Sanggup sebab nak belanja anak-anak sekolah. Macam itulah kadang-kadang sampai.

“Tapi kadang-kadang kita faham pendapatan suami saya pun tak banyak. Bergantung pada dia,” katanya.

Nurul juga bersyukur kerana dengan hanya sekali panggilan dia berjaya menembusi talian.

Pak Nil kemudian memberitahu Nurul bahawa dia akan membuat pindahan wang ke akaun Nurul dan meminta dia menyemaknya.

Nurul kemudian menyemak akaun dan bersyukur kerana berjaya mendapat rezeki, namun tidak perasan jumlah yang diberikan.

“Untuk saya belanja sekolah anak saya,” ucapnya.

Pak Nil kemudian memberitahu jumlah sebenar yang dimasukkan ialah RM500 membuatkan Nurul tidak putus-putus mengucapkan terima kasih.

Pendengar antaranya kalangan selebriti seperti Fauzi Nawawi memuji apa yang dilakukan dan turut mendoakan agar kebaikan berbalik kepada Pak Nil.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *