KUALA LUMPUR: Walaupun berpisah dengan bekas suami, Zolkefli Abdul Rahman lebih sedekad lalu, pelakon veteran, Liza Abdullah, 61, masih menjalin ukhuwah bersama bapa kepada anak-anaknya itu.

Sehubungan itu, setiap kali tibanya Syawal, anak-anak tidak pening kepala memikirkan mahu beraya dengan ibu atau ayah. Saban tahun, mereka beraya bersama seperti satu keluarga, biarpun tiada lagi ikatan sah sebagai suami isteri.

Liza yang terkenal dengan watak Mak Leha dalam drama 7 Hari Mencintaiku memberitahu, dia membelikan baju raya buat bekas suami supaya tampil sedondon dengan anak-anak.

“Sejak berpisah dengan bekas suami, kami beraya bersama. Saya tidak mahu anak-anak rasa kekurangan. Saya tiada kampung, jadi, saya berkumpul di rumah bekas adik ipar di Alam Impian.

PauseNextUnmuteCurrent Time 1:49/Duration 2:19Loaded: 100.00%Fullscreen

“Itulah menjadi tempat kami berkumpul setiap kali raya. Walaupun sudah bercerai, tetapi hubungan kami masih baik.

“Mereka menyantuni saya dengan baik, tiada istilah bekas ipar sebab itulah kami masih boleh beraya bersama,” katanya kepada BH Online.

Liza dan bekas suami bersama anak dan cucu. - Foto Ihsan Liza Abdullah
Liza dan bekas suami bersama anak dan cucu. – Foto Ihsan Liza Abdullah

Pemenang kategori Watak Antagonis Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-34 itu berkata, dia membawa bekas suami jika anak pulang ke rumah mentua di Pulau Pinang.

“Ke mana saya pergi bersama anak-anak, bekas suami akan ikut sama. Ini dibuat agar cucu yang masih kecil dan belum faham merasakan mereka ada datuk dan nenek seperti orang lain.

“Cuma, bekas suami tidak sihat dan berada di hospital, tahun ini. Jadi mungkin anak-anak akan beraya dengan bapa mereka di hospital sahaja.

“Saya sentiasa ingatkan kepada anak-anak supaya menjaga bapa mereka. Lagipun, suami memang tinggal bergilir-gilir di rumah anak pertama dan kedua,” katanya.

Berkongsi mengenai juadah raya, Liza beruntung kerana iparnya adalah pengusaha katering. Jadi, Liza jarang memasak juadah raya, sebaliknya, hanya mengisi perut di rumah mereka.

Bagaimanapun, Liza berkata, dia beraya bersama teman baik seperti Anne Abdullah dan Fauziah Sarman, tahun ini.

“Saya bersama teman baik bertemu pada hari raya kedua untuk sambut Aidilfitri bersama.

“Sebenarnya, sudah banyak tahun kami merancang beraya bersama, namun, selalunya tidak kesampaian.

“Biasalah apabila sudah memerap di rumah, mulalah malas hendak keluar. Segala perancangan kononnya nak beraya bersama dan bersiar-siar terus terpadam,” katanya.

Liza bercerai dengan Zolkefli pada 2014 selepas 26 tahun berkongsi hidup.

Dikurniakan empat cahaya mata iaitu Zulhaffiz Zarriq, 36; Nurwafiez

Syahiddah, 32; Zulsyahmi Naqib, 23, dan Zulsyahmi Afif, 21.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *