Penyanyi muda Indonesia, Nabila Taqiyyah tampil dengan album sulung berjudul Kekal Yang Sementara di bawah syarikat rakaman Universal Music Indonesia.

Selepas beberapa tahun aktif dengan beberapa single, penghasilan album ini menjadi satu pencapaian besar dalam kerjaya nyanyiannya.

Nabila berkata, memiliki sebuah album adalah impian bagi setiap penyanyi dan dia sendiri sudah lama menantikan peluang ini. Lebih bermakna, ia dilancarkan di tanah airnya sendiri.

“Sebagai penyanyi atau pemuzik, memiliki sebuah album pastinya menjadi sesuatu yang sangat diimpikan dalam kerjaya. Begitu juga saya, menghasilkan album menjadi salah satu pencapaian luar biasa bagi saya,” katanya.

Album ini secara keseluruhan berteraskan genre pop dan menceritakan pengalaman peribadi Nabila dalam melalui fasa putus cinta untuk kali pertama.

NABILA Taqiyyah tampil sisi matang menerusi album Kekal Yang Sementara.
NABILA Taqiyyah tampil sisi matang menerusi album Kekal Yang Sementara.

Beberapa lagu dalam album ini ditulis sendiri oleh Nabila, antaranya Pengagum Rahasia, Menikmati Kebohongan dan Sementara Bukan Selamanya.

“Album ini menjadi salah satu bentuk ‘pengesahan’ terhadap perasaan putus cinta yang dihadapi oleh berbagai kalangan usia, mulai dari remaja, orang dewasa, hingga orang tua,” katanya.

Nabila berharap pendengar dapat mengambil hikmah daripada pengalaman yang dilaluinya dan tidak terus terperangkap dalam kesedihan.

“Ada banyak hal-hal positif lain di luar sana yang boleh kita fokus selain dari perasaan sedih yang kita alami. Dan, album ini mewakili hal-hal itu,” katanya.

Album ini bukan saja menandakan permulaan penting dalam perjalanan seni Nabila, tetapi juga memperlihatkan potensi besar dirinya sebagai penyanyi dan penulis lagu yang mampu bercerita dengan jujur.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *