Kuala Lumpur: Penyanyi Zehra Zambri, 37, memaklumkan terkejut dengan tindakan suaminya, Nur Mohd Iqwan Samsudin, 41, yang mendakwa pernah didera.
Zehra berkata, tindakan itu sekali gus menenggelamkan isu utama iaitu tuntutan nafkah terhadapnya seperti yang dikemukakan pada sebutan pertama di Mahkamah Syariah Hulu Langat, Khamis lalu.
“Mulanya saya nak failkan untuk cerai secara ‘fast track’ tapi dia tak setuju. Itu yang dibawa selepas raya untuk tahu pendiriannya sebagai defendan.
“Saya dah kemukakan lima tuntutan tapi dia bidas dalam mahkamah. Dia kata tak setuju dan anggap semua itu fitnah.
“Saya yang lalui pengalaman hidup dengannya dan rasa penat. Orang tak tahu apa yang dilalui. Dia dah burukkan saya. Memang tak sangka pun,” katanya kepada Harian Metro.
Zehra berkata, apa yang berlaku hanya permulaan tetapi menyatakan kesal dengan sikap suaminya.
“Saya ada bukti-bukti dalam perkara ini. Tiba-tiba lepas sebutan dia naikkan isu lain sehingga menenggelamkan isu utama iaitu tuntutan.
“Dia buka cerita dia didera. Benda dah lama, rasanya dua tahun sudah. Kenapa dia nak menguar-uarkan lagi. Sekarang orang dah lupa isu utama dan ditutup dengan cerita dia didera isteri.
“Satu Malaysia kata saya isteri nusyuz, isteri derhaka sedangkan tujuan utama ialah untuk sebut lima perkara ini,” katanya.
Antara sebutan terbabit ialah tiada lagi persefahaman, culas menjalankan tanggungjawab dan pengabaian selain perkahwinan tidak dapat diselamatkan serta sikap.
“Dia cuba tutup kesalahan asal dan terbuka cerita lain sedangkan saya, nak tutup aib dia. Saya dah lama terseksa hidup dengan. Sekarang dia lancarkan perang untuk jatuhkan reputasi saya dan saya terima.
“Tak mengapa nanti Allah akan bongkar. Namun saya bersyukur ada juga yang menyokong. Kebanyakannya orang yang kenal siapa saya.
“Mereka banyak menyalurkan info-info sebenar. Orang yang pernah jadi mangsa dia pun menyokong saya. Yang tak diduga, ada yang bantu saya bagi semangat,” katanya yang akan menjalani proses JKP dengan suaminya pada 7 Mei nanti.