Kuala Lumpur: Pelakon, Shukri Yahya berharap dia terus istiqamah apabila memilih untuk tidak melakonkan adegan bersentuhan dengan wanita bukan mahram.

Shukri berkata, pilihan itu dibuat bagi menjaga hati keluarganya, lebih-lebih lagi dengan perubahan dilakukan isterinya, Tya Adnan yang kini berniqab.

“Rasanya sudah tiada adegan saya berpegangan tangan (pelakon wanita). Saya harap dapat terus istiqamah bagi menjaga hati isteri dan keluarga. Doakan untuk saya,” katanya.

Dalam masa sama, Shukri menyifatkan pujian demi pujian yang diterima oleh netizen mengenai kebahagiaan keluarganya adalah satu luahan rasa rindu.

“Saya jarang kongsi mengenai keluarga di laman sosial. Jadi, Aidilfitrilah waktu sesuai untuk saya kongsikan.

“Bagi saya, pujian itu mungkin sebab orang rindu nak melihat keluarga saya. Saya tak anggap pujian itu secara negatif.

“Selain pujian, ada juga komen yang bagi saya tak perlu komen pun tak apa. Tapi saya okay saja,” katanya.

Ditanya adakah dia bangga dilabel sebagai lelaki paling setia, Shukri berkata, pujian sedemikian tidak akan membuatkan dia lalai dalam menjaga keharmonian rumah tangganya.

“Saya tak pernah bangga (dilabel sebagai lelaki setia) dan tak anggap ia sesuatu yang bagus pun.

“Saya sentiasa mengingatkan diri, apa pun saya buat, apa yang saya lakukan, saya akan ingat keluarga.

“Saya akan ingat isteri dan anak-anak kerana apa saja saya buat akan beri kesan kepada keluarga. Jadi, saya tak nak perkara itu terjadi,” katanya.

Terdahulu, perkongsian Shukri sewaktu Aidilfitri bersama isteri dan anak-anaknya di media sosial menarik perhatian netizen yang rata-ratanya teruja melihat penampilan Tya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *