Subang Jaya : Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris, 57, trauma untuk mengadakan konsert selepas dia menerima cek tendang daripada segelintir pihak sebelum ini yang hanya pandai menabur janji manis ingin menaja konsert mega berbayar untuknya.
Noraniza yang mesra disapa Kak Ani berkata, pengalaman perit dilaluinya itu membuatkan dia serik dan lebih berhati-hati sebelum mengikat kerjasama dengan sesetengah pihak bagi merealisasikan persembahan besar.
“Saya bukan saja serik, malah jadi trauma nak buat konsert sebab pernah dapat cek tendang daripada penaja. Wakil syarikat itu pada awalnya memang bersungguh-sungguh mahu bekerjasama. Jadi, dia berikan cek dulu, tetapi malangnya itu cek tendang.
“Biarpun insiden itu sudah bertahun-tahun berlaku, saya masih ingat dan jadi takut nak buat konsert,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Eh Raya 2025, semalam.
Noraniza akui memang lebih cenderung mengadakan persembahan berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan mengikat kerjasama dengan pihak yang lebih memudahkan perjalanan sesebuah projek.
Terbaru, dia bakal menjayakan Konsert Eh Raya 2025 di pusat beli belah Summit USJ, di sini, pada 26 April ini secara percuma dan mensasarkan kehadiran lebih 5,000 penonton.
“Konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi membawa penonton menyusuri pengalaman rumah terbuka Aidilfitri dalam bentuk sketsa, tarian dan nyanyian.
“Idea mahu berkongsi konsert tanpa tiket berbayar ini muncul selepas saya pindahkan operasi Noraniza Idris Dance Academy (NIDA TARI) ke Shah Alam dari Kuala Lumpur sejak Januari lalu dan menariknya banyak pihak tampil memberi sokongan.
“Kami akan sajikan persembahan lagu raya penuh nostalgia seperti Rewang Raya dan Halal Bihalal diiringi lebih 60 penari Noraniza Idris Dance Academy (NIDA TARI) selain memasyarakatkan semula seni tradisional,” katanya.
Noraniza teruja meraih sokongan pelbagai pihak dalam merealisasikan Konsert Eh Raya 2025 sekali gus memartabatkan seleksi lagu raya yang menjadi siulan ramai.